Buang puntung rokok, Choi Hyun-wook mohon maaf

DIKECAM teruk kerana merokok dan membuang puntung sesuka hati di tempat awam, pelakon Choi Hyun-wook tampil memohon maaf secara terbuka.

Malah, aktor kacak itu mengakui kesalahannya dan berjanji tidak akan mengulanginya pada masa hadapan serta akan sentiasa lebih peka dengan persekitaran.

“Saya ingin merakamkan permohonan maaf kepada peminat dan orang ramai atas kelakuan saya yang kurang sopan di tempat awam.

“Saya memohon maaf sekali lagi kepada pengarah drama, penulis, kakitangan, rakan pelakon, dan semua orang yang saya bekerjasama.

“Saya dengan rendah hati menerima kritikan dan nasihat yang anda berikan kepada saya, malah akan bermuhasabah diri serta bekerja keras untuk menunjukkan sisi diri yang lebih matang pada masa hadapan,” tulisnya menerusi satu surat bertulisan tangan.

Terdahulu, seorang netizen memuat naik video yang memaparkan Hyun-wook memegang tangan seorang wanita sambil menghisap rokok dan seterusnya melemparkan puntung rokok itu merata-rata berhampiran tempat parkir kereta.

Susulan itu, video tersebut dihujani pelbagai respons netizen dan rata-ratanya bengang dengan tindakan pelakon itu yang sewenang-wenangnya membuang puntung rokok tanpa memikirkan kesannya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok