Akur keputusan mahkamah, biar masyarakat nilai sendiri – A. Aida

PENERBIT sensasi, Datuk A. Aida menghormati keputusan mahkamah apabila pelakon Amelia Henderson berjaya dalam rayuannya bagi mengetepikan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi miliknya, A. Aida Production Sdn. Bhd.  dalam isu pelanggaran kontrak drama terbitannya.

A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 53, bagaimanapun memaklumkan, dia bersyukur kerana sudah melunaskan tanggungjawab sebagai penerbit dengan memberi pengajaran kepada pelakon supaya menghormati kontrak.

“SAYA reda dengan keputusan mahkamah.”

“Yang penting objektif nak bagi pengajaran kepada artis supaya menghormati kontrak yang ditandatangani telah tercapai melalui usaha membawa kes berkenaan ke mahkamah.

“Saya pun malas nak fikir tentang perkara ini. Biar masyarakat sendiri nilaikan,” katanya ketika dihubungi HibGlam sebentar tadi.

Hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Amelia selaku pemohon dalam rayuan itu selain telah meneliti segala rekod rayuan secara maksima dan hujah daripada kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan Amelia perlu membayar ganti rugi nominal RM10,000 dalam tempoh 14 hari dan faedah 5 peratus kepada syarikat produksi bermula hari ini (keputusan dibuat).

Sebelum ini, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd pada 18 April lalu.

Antara alasan utama dalam rayuan itu, adalah terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Sivil sebelum ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok