[VIDEO] Sepadan! Mizz Nina, Essam Muhammad bersanding

Selepas tiga bulan mengumumkan pernikahan, penyanyi yang juga aktivis kemanusiaan Mizz Nina dan suaminya, Essam Muhammad diraikan dalam sebuah majlis resepsi, malam tadi.

Difahamkan, majlis tersebut berlangsung di Boathouse Ampang, Kuala Lumpur yang diadakan secara tertutup dengan hanya dihadiri ahli keluarga serta kenalan terdekat.

Mengenakan abaya serba putih, pemilik nama sebenar Shazrina Azman dan pasangannya yang juga penyanyi rap Amerika Syarikat melangkah anggun menuju pelamin.

Menerusi video dikongsi seorang pempengaruh media sosial yang juga saudara Mizz Nina, mempelai sepadan berjalan beriringan, malah Essam juga segak menggayakan persalinan rona senada.

MIZZ Nina dan Essam bersama keluarga tercinta.

Menurut kapsyen gambar, ramai anggota keluarga dan rakan datang dari jauh termasuk Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Indonesia.

Personaliti popular itu ditata rias jurusolek Fazz Ariffin yang turut berkongsi acara tersebut di Instagram, manakala busana daripada pereka Ezzati Amira.

Menjengah ruangan komen, rata-rata menzahirkan ucapan tahniah selain memuji kejelitaan pengasas aplikasi Qalby itu yang dikatakan seiras Essam.

“Alhamdulillah, seiras benar Mizz Nina dengan suaminya. Tumpang gembira,” kata seorang peminat.

“Pasangan sepadan, semoga kekal hingga ke syurga,” tulis pengikut laman sosial lain.

Begitupun, baik Mizz Nina mahupun Essam yang berdarah keturunan Maghribi itu tidak berkongsi sebarang hantaran berkenaan majlis terbabit.

MAJLIS resepsi yang diadakan secara tertutup itu dihadiri keluarga dan rakan terdekat pasangan mempelai dari dalam dan luar negara.

Pada 15 Jun lalu, personaliti popular berusia 43 tahun itu berkongsi kegembiraan dengan mendedahkan status terbaharunya sebagai isteri kepada Essam.

Majlis pernikahan anak kepada tokoh perbankan terkemuka Tan Sri Azman Hashim itu turut diadakan secara tertutup yang dipercayai diadakan di luar negara sekitar awal tahun ini.

Ini adalah perkahwinan keduanya yang pernah mendirikan rumah tangga dengan vokalis Hujan Noh Salleh pada 2 Julai 2011 namun bercerai 4 Ogos tahun lalu.

Mizz Nina dan Noh mempunyai seorang anak angkat lelaki bernama Musa. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok