Naik lori, dibayar RM50, Exists bukukan pengalaman

PERNAH melalui fasa sukar tiada undangan pentas selain dibayar RM50 seorang bagi satu persembahan antara pengalaman yang dimuatkan dalam buku kembara seni kumpulan Exists.

Pemain basisnya, Musha Radhi berkata, meski sudah 32 tahun bertapak dalam industri seni, detik awal perjuangan mengejar impian bergelar artis rakaman tidak pernah dilupakan dan didokumentasikan dalam sebuah buku sebagai memoir.

“Apa yang tak pernah kami hadap ketika mula bertapak dulu? Saya anggota paling tua waktu itu, manakala yang lain ada yang masih belajar di sekolah menengah.

“Kemudian, selepas ada yang habis sekolah, kami berhijrah ke Kuala Lumpur dari Johor, jauh dari keluarga. Semuanya kena telan sendiri. Bila mak ayah atau adik beradik ‘call’, kami cakap okey saja.

“Padahal tak ada ‘show’ selama setahun, jadi masa itu mi segera jadi makanan ruji. Pernah  juga naik lori ke tempat persembahan sebab tak ada duit.

“Kena tipu tu jangan cakap, memang ada. Dapat bayaran RM50 seorang pun pernah. Semua ini pengalaman mahal yang saya tulis dalam buku mengenai Exists,” katanya ketika sidang media Konsert Exists X Orkestra, baru-baru ini.

Menurut Musa lagi, nukilan mengenai setiap anggota serta pengalaman yang sebelum ini dikongsi dalam Facebook kini dalam proses kompilasi untuk diterbitkan dalam masa terdekat.

Selain Musa, band yang ditubuhkan pada1991 dan pernah mencetuskan fenomena itu turut dibarisi Ajai (keyboard), Along (gitar), Ujang (dram) serta dua vokalis, Mamat dan Ezad.

Sementara itu, mengenai konsert yang dijadualkan berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 Disember depan, Ezad berkata mereka bakal diiringi lebih 30 pemuzik orkestra.

Katanya, tawaran Persatuan Global Malaysia ibarat bulan jatuh ke riba, apatah lagi dapat berkumpul dengan peminat menjelang penutup tahun 2023.

“Kami teruja merealisasikan Konsert Exists X Orkestra kerana belum pernah membuat persembahan bersama orkestra dalam skala mega seperti ini yang tentu sahaja tampil dengan bunyian mewah.

“Dalam senarai sudah disusun banyak lagu yang boleh dikemaskan semula mengikut orkestra serta bersifat ‘sing along’,” kongsinya.

Sementara itu, Along berkata, 10 peratus hasil jualan tiket akan disalurkan kepada artis yang memerlukan bantuan.

Tiket menonton konsert itu bermula dengan harga RM568, RM 468, RM 368, RM 268 dan RM 168 yang boleh dibeli menerusi laman sesawang www.MyTicket.Asia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok