Impian Siti Nurhaliza berduet dengan Awie tercapai

BUAT perdana kalinya,  penghibur tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza merakamkan single dengan otai rock, Datuk Azhar Othman atau Awie untuk lagu genre tradisional moden berjudul Kalau Berkasih.

Sekali gus, peluncuran dendangan itu bersama tiga lagi karya tambahan melengkapkan album edisi deluxe Sitism yang menjadikan keseluruhan naskhah tersebut berjumlah 12 trek.

“Ini merupakan penampilan pertama Datuk Awie merakamkan lagu tradisional dan tentu sahaja gandingan ini dapat mengangkat muzik tradisional buat seluruh lapisan masyarakat.

“Empat lagu baharu yang dimuatkan dalam Sitism bukan bonus, sebaliknya lebih dulu menjadi antara pilihan terbaik bagi melengkapkan projek ini walaupun berjarak dua bulan dari tarikh pelancaran,” katanya.

Strategi pemasaran

Menurut Siti lagi, pengumuman empat karya baharu itu hakikatnya antara strategi pemasaran untuk memberi peluang kepada pemerhati muzik menikmati lapan seleksi terawal.

“Syarikat pengurusan sengaja mahu peminat, pencinta muzik, stesen radio dan televisyen menumpukan perhatian kepada lagu yang telah dilancarkan awal dalam album studio ke-20 itu.

“Disebabkan itu jarak masa diletakkan hampir tiga bulan sebelum edisi deluxe pula menyusul,” ulas penyanyi nombor satu negara itu dengan nada teruja.

Selain Kalau Berkasih yang juga sentuhan bersama Glowrush, Tam Cobain dan Mike Chan, pilihan lain adalah Senyawa (Farouk Roman/Senna); Nadi (Mim Hamzah & Illi Diyana) dan Kusedari (Siti Nurhaliza/Datuk Habsah Hassan).

Album fizikal

Terdahulu, judul Sitism merujuk kepada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti, manakala imbuhan ism pula merupakan istilah linguistik untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album.

Apabila nama Siti dan imbuhan ism ini disatukan, Sitism membentuk kata nama mewakili ciri tertentu di dalam album yang dilancarkan pada Jun lalu.

Sitism atau Siti-ism menggambarkan dirinya yang tampil bersama ciri khas, gaya, kualiti serta vokal tersendiri, selain melambangkan dirinya seiring  peredaran masa dan perkembangan muzik.

Sementara itu, album terbitan Universal Music Sdn.Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd tersebut turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal yang turut dijual di kedai pengedar terpilih dalam jumlah terhad.

Lagu lain yang turut dimuatkan ialah Menyapa Dunia, Tanpa Diri-Mu, Sehebat Matahari, Ganti, Romansa Kita,  Teratas, Menjaga Cintamu dan Magis.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok