WANITA bertatu asal Indonesia yang pernah dibantu seorang penceramah bebas, Mondy Tattoo mendakwa dicabul individu tersebut pada hari pertama tiba di Malaysia sekitar Jun lalu.
Kata ibu tunggal terbabit, selepas itu terjadi dua lagi cubaan untuk melakukan gangguan seksual terhadapnya.
“Kali pertama bersamanya dalam kereta, tangan saya telah dipegang dan diusap. Dia pakar agama, tapi kenapa pegang tangan saya sedangkan saya bukan mahramnya. Saya lepaskan tangan.
“Kejadian kedua pula dia tutup langsir dalam kereta dan bangun ke arah saya serta menyelak jubahnya dari bawah. Tetapi pemandu dia ketuk pintu dan bertanya apa yang berlaku.
“Kemudian kejadian ketiga, dia pegang pipi serta usap tatu saya seperti ingin mencium saya. Orang ingat saya ini yang teruk, tetapi dia lebih teruk. Saya kena pertahankan hak,” katanya menerusi sesi podcast bersama penyanyi rap dan penceramah motivasi, Caprice, malam tadi.
Menerusi wawancara berdurasi sekitar 28 minit itu, Mondy turut mendakwa berdepan ugutan pihak lelaki terbabit yang membuatkannya takut untuk bersuara pada waktu itu.
“Saya tidak mendedahkan perkara ini sebelum ini sebab ada ancaman, mereka kata saya akan dibaling batu jika berada di Malaysia.
“Kata mereka, saya juga boleh dipindahkan ke tempat lain kerana rakyat Malaysia tidak menyukai saya,” luahnya.
Menurutnya lagi, individu sama turut memaksanya melakonkan aksi mengerjakan ibadah solat bagi tujuan rakaman.
Walaupun pada awalnya enggan menuruti permintaan yang turut memerlukannya berlakon memgaji, akhirnya dia terpaksa akur dengan pujukan.
“Sekejap satu saat, satu saat. Mondy buat macam ni,” dedah pensohor media sosial berusia 22 tahun itu yang sebelum ini dikatakan sebagai gelandangan.
Kisah wanita bertatu penuh di muka itu pernah tular pada Jun lalu menarik perhatian rakyat Malaysia selepas seorang individu terkenal membawanya datang ke negara ini.
Kini selepas lebih tiga bulan, Caprice sejak awal minggu ini mahu mendedahkan hasrat wanita terbabit ingin membuat pendedahan bagi membongkar sisi jijik lelaki dimaksudkan.
Dalam sedutan video wawancara sama, Mondy dilihat turut mengucapkan terima kasih kepada atas individu berkenaan selain menitipkan pesanan agar penceramah itu berhati-hati.
“Saya ucapkan terima kasih ke atas sesuatu yang sudah ustaz lakukan. Ini bukan fitnah, bukan cakap kosong.
“Suatu hari nanti terbukti dan ada tempatnya (terbongkar). Jangan main api kalau tidak mahu terkena api,” katanya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menganggap tindakan Mondy sebagai perbuatan yang membuka aib.
Malah, kebanyakan daripada mereka memilih untuk tidak mempercayai butiran didedahkan selain turut mencemuh tindakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli.
Begitupun, masih ramai menyokong ‘pembongkaran’ seperti itu yang disifatkan sebagai cara satu cara melindungi orang yang teraniaya.
“Aib atau tidak terpulang kepada yang menilainya tapi bagi seseorang seperti Caprice cuba membetulkan perkara tidak betul,” kata seorang netizen.
“Perlukah sebarkan aib orang? Biarlah itu antara hamba-Nya dan Pencipta. Kita juga ada aib yang perlu dijaga. Doa baik-baik,” ujar pemilik akaun lain.
Sebelum ini, Mondy meraih perhatian semula selepas beberapa klip video dalam TikTok menunjukkan dia membuka tudung dan hanya mengenakan topi serta memakai baju berlengan pendek. – HIBGLAM