Bukan hamil tapi buncit – Sweet Qismina  

SERING diasak soalan tentang zuriat dek kerana tubuh tampak berisi, pelakon Sweet Qismina tampil menafikan dakwaan dirinya kini berbadan dua.

Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi berkata, sehingga hari ini dia masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.

Bagaimanapun, isteri kepada pelakon Adam Lee itu tidak ambil hati apabila ada yang menyangka dirinya hamil dan bertanya usia kandungan.

“Kalau orang tanya saya dah berapa bulan, saya akan jawab perut buncit sebab kuat makan.

“Saya tidak terasa hati sebab bagi saya apa yang orang cakap itu doa. Daripada marah ada baiknya saya aminkan doa mereka,” katanya menerusi perkongsian video dalam TikTok sebuah portal majalah.

Aktres berusia 26 tahun itu mengakui gembira diajukan soalan sedemikian kerana melihatnya sebagai doa yang tidak mustahil dimakbulkan Tuhan.

“Kita tak boleh marah sebab mereka tak tahu pun betul ke tak betul (hamil). Tapi apa yang diluahkan itu menggembirakan saya sebab itu adalah doa mereka.

“Saya akan cakap, ‘belum lagi, doakan saya’. Sebab tak tahu dalam 10,000 orang yang berdoa itu, salah seorang doanya akan diangkat,”katanya.

Sebelum ini, penampilan Sweet yang menampakkan bentuk perutnya seperti sedang hamil (baby bump) ketika menghadiri sebuah majlis menjadi bualan netizen sehingga ada yang menganggap aktres kelahiran Muar, Johor itu benar-benar berbadan dua.

Sweet mendirikan rumah tangga dengan aktor Adam Lee pada 24 Oktober tahun lalu selepas tiga tahun menyulam cinta. –HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok