Kempen #DemiNegaraku Astro tawar saluran percuma

SEMPENA cuti sekolah, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Astro menawarkan pelbagai kandungan menarik untuk dinikmati pelanggan menerusi dua saluran percuma #DemiNegaraku dan Ultraman.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, sebagai jenama tempatan, Astro menyeru semua rakyat Malaysia bersama-sama meraikan wira, wirawati sukan serta generasi pemimpin masa depan negara.

“Matlamat keseluruhan kempen #DemiNegaraku dan Home of Kids adalah untuk mempamerkan bakat generasi pelapis, sama ada dalam bidang breakdancing, memanah, larian atau apa sahaja.

“Jadi Astro membuat empat video pendek untuk mendidik, memberi inspirasi dan menonjolkan bakat serta atlet muda Malaysia, selain menyediakan saluran istimewa buat kanak-kanak,” katanya ketika pelancaran acara, baru-baru ini.

Pelancaran kempen #DemiNegaraku dan Home of Kids  yang berlangsung di IOI Putrajaya itu turut disempurnakan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Langganan secara percuma untuk saluran tersebut boleh diikuti bermula 20 Ogos hingga 30 September ini.

#DemiNegaraku yang disiarkan di saluran 100 menawarkan kisah penuh inspirasi termasuk dokumentari, filem, rancangan kanak-kanak serta kandungan baharu yang dicetuskan hero sukan negara.

Antara program menarik yang disiarkan termasuklah, Dendam Hantu Latah 2: Roh YB Lama, program permainan Family Feud Edisi Khas Merdeka (bahasa Inggeris, Melayu dan Tamil); serta dokumentari seperti The Guardian dan Kembara Chef Wan Laluan Sutera.

Sementara, Ultraman yang disiarkan menerusi Saluran 400 pula menawarkan siri dan filem terbaik yang diadaptasi daripada adiwira popular Jepun itu.

Euan berkata, sebagai Home of Kids, Astro komited dalam menarik ramai kanak-kanak Malaysia dengan tajuk tempatan  selain memaparkan kisah relevan.

Hiburan selamat

Menariknya, selain kandungan kanak-kanak yang disegarkan semula, Astro turut menawarkan pengalaman hiburan lebih selamat dengan ciri Kids Friendly Profile.

“Menerusi pengenalan ciri tersebut, kanak-kanak tidak boleh menukar ke profil dewasa kerana dilindungi pin keselamatan yang ditetapkan ibu bapa.

“Kids Friendly Profile membawakan pengalaman tanpa kerisauan untuk ibu bapa kerana boleh mengawal apa yang diakses  anak-anak mereka.

“Pengenalan ciri keselamatan ini memberikan kelebihan berganda buat pelanggan kami,” ujarnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok