Dr. Sam balik tanpa ijazah, Saya Anak Malaysia akhirnya banggakan bapa

BANGGA lagu Saya Anak Malaysia masih menjadi siulan meskipun sudah 37 tahun berkumandang, penyanyinya, Dr. Sam bagaimanapun tidak terfikir untuk membuat rakaman semula lagu memberi nafas baharu terhadap lagu berkenaan.

Pemilik nama sebenar Salim Ibrahim itu berkata, karya ciptaan bersama Datuk M. Nasir itu sudah cukup cantik susunan melodi serta seni kata yang menyemarakkan semangat cintakan negara serta keharmonian sejagat.

“Sebenarnya saya tak pernah terlintas nak rakamkan semula lagu ini, biarlah dendangan ini kekal sebagaimana mula-mula dihasilkan dulu.

“Lagipun ramai penyanyi generasi baharu bawakan Saya Anak Malaysia dalam versi tersendiri, buatkan lagu ini terus hidup dan semarakkan semangat kebangsaan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Penyanyi reggae berusia 70 yang kini aktif melaksanakan kerja dakwah ditemui pada majlis sidang media Festival Cinta Ummah di Restoran Daie, baru-baru ini.

Mengimbas semula nostalgia di studio sekitar 1986, akuinya S Amin Sahab yang juga penulis lirik tersohor hanya menyerahkan kertas kosong, sedangkan rakaman bermula pada hari tersebut.

“Dia tanyakan tarikh lahir saya yang kemudian ditulis atas helaian itu sebelum minta saya menyambung beberapa baris lain membabitkan data peribadi, maka lahirlah Saya Anak Malaysia.

“Apabila menjadi lagu ‘anthem’ setiap kali Hari Merdeka dan Hari Malaysia, hanya syukur yang mampu diluahkan kerana dapat menyatukan masyarakat,” ulasnya yang pernah membuat gimik dengan ayam suatu ketika dulu.

Bercerita lanjut, akui Dr Sam, pada kemunculan di Panggung Anniversary tahun 1980 bersama Datuk Jamal Abdillah yang baru menang Bintang RTM dan Datuk Sharifah Aini, pengurusnya Ali Bakar memberikan satu idea mustahil.

Katanya, jika dibandingkan dengan penyanyi lain yang terkenal pada era tersebut, dia yang baru setahun balik Malaysia dan bermula sebagai penyanyi jalanan tentu saja dipandang sebelah mata.

“Jadi pada persembahan di pentas terbuka berkenaan Ali bawakan saya dua ekor ayam yang memang satu kerja gila buat ‘show’ lepaskan ayam atas pentas.

“Esoknya semua suratkhabar termasuk berbahasa Tamil dan Cina keluarkan kisah Dr Sam penyanyi lepaskan ayam ketika buat persembahan.

“Kiranya gimik pengurus saya ‘menjadi’. Lucu mengenangkan zaman awal dulu,” katanya yang mendedahkan nama Dr Sam Rasputin juga diberikan Ali tetapi kemudian dipendekkan kepada Dr Sam.

Teruja bercerita pengalaman lalu, nada suaranya berubah tatkala topik terarah kepada keluarga apabila mendedahkan terharu dendangan malar segar itu mampu membanggakan bapanya.

“Saya bukanlah anak orang senang sampai boleh sambung belajar sampai United Kingdom, cuma rezeki ketika itu apabila ayah yang juga pesara polis dihantar sebagai attache di Jeddah.

“Sebenarnya selain London, lima tahun saya merantau ke beberapa negara lain termasuk Jerman sambil busking kutip pengalaman. Dulu kalau orang tanya saya belajar apa, saya cakap jurusan buskerstology.

“Apabila balik cuma bawa gitar tanpa segulung ijazah, saya tahu ayah terkilan. Jadi ketika Saya Anak Malaysia diputarkan di radio dan orang keliling sebut-sebut nama Dr Sam, saya tahu dia bangga,” luahnya dengan mata berkaca.

Biarpun kini tumpuannya lebih kepada kerja dakwah, bapa kepada dua cahayamata itu tetap ‘turun padang’ andai diundang untuk berkongsi cintanya terhadap muzik
serta tanggungjawab hakikinya kini.

“Kalau dipanggil tentu saja saya datang. Beberapa tahun dulu ada diundang TV3, mungkin sebab ada yang sangka saya dah berundur,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok