Sepet, Guang ditayangkan sempena Festival Budaya Filem China-Malaysia

DUA filem ikonik tempatan, Sepet dan Guang antara naskhah yang ditayangkan semula di pawagam bersempena Festival Budaya Filem China-Malaysia Edisi Kedua dari 30 Mei hingga 8 Jun 2025.

Festival bertemakan Klasik ke Masa Depan XR anjuran Lomo Pictures Sdn. Bhd. merupakan inisiatif tahunan bagi mengukuhkan lagi hubungan kreatif dan industri antara dua negara menerusi filem.

Pengerusi Lomo Pictures Sdn. Bhd, Aron Koh, berkata festival terbabit memberi peluang kepada penonton menyaksikan pelbagai filem pilihan dari Malaysia dan China merangkumi filem klasik, kontemporari serta genre lain.

Katanya, karya pilihan merupakan naskhah melangkaui zaman dari karya klasik yang dibaik pulih, filem kontemporari pecah panggung hingga kandungan bereksperimen menggunakan teknologi terkini seperti XR dan kecerdasan buatan (Al).

“Festival ini bukan sekadar tayangan filem semata-mata, malah menjadi jambatan budaya antara dua negara menerusi bahasa universal filem,” katanya.

Selain Sepet arahan Allahyarham Yasmin Ahmad terbitan 2005 serta Guang (2018) yang berkisar spektrum autisme, Malaysia turut diwakili filem baharu, Filem baharu Blooms of Happiness.

Filem klasik China, The Goddess (1934) lakonan legenda Ruan Lingyu pula membuka tirai tayangan sebagai simbol penghormatan terhadap warisan sinema China.

Antara lain adalah komedi Hong Kong, It’s a Mad, Mad, Mad World (1987), Creation of the Gods I: Kingdom of Storms (2023) dan sekuelnya Creation of the Gods II: Demon Force (2025) juga berada dalam senarai.

Turut menemui penonton adalah Honey Money Phony dan A Place Called Silence, sekali gus menonjolkan menampilkan aneka genre dalam landskap sinema China.

Aron berkata, acara ini diadakan bergilir antara dua negara setiap tahun dengan diisi acara sampingan seperti sesi dialog, forum dan acara budaya yang menggalakkan lagi pertumbuhan serantau dalam bidang penceritaan dan kerjasama merentas sempadan.

Festival ini turut mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta kerjasama GSC International Screens dan China Film Archive.

Lomo Pictures juga mengumumkan kerjasama jangka panjang dengan Beijing Tianying Holdings Group Co., Ltd. untuk menghasilkan projek bersama menggunakan teknologi XR.

Projek ini dijangka menjadi produksi pertama XR antara China dan Malaysia dal mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam arena kandungan digital Asia dan dunia.

Selepas edisi Malaysia ini, festival sama diteruskan ke Xi’an, China, bagi memperluas lagi dialog budaya dan kerjasama sinematik kedua-dua negara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok