Battle Of The Band kembali!

SELEPAS 20 tahun, festival muzik Battle Of The Band (BOTB) kembali lagi, sekali gus bakal menjadi platform anak muda mempamerkan bakat dan kreativiti dalam arena muzik.

Pengarah MASH Entertainment Sdn.Bhd. merangkap Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Hidayah (HERO), Dr. Murad Hilmi Mohamed selaku penganjur berkata, seiring peredaran waktu, pertandingan tersebut tampil bersama format baharu, selain ganjaran berupa rakaman single kepada pemenang.

Festival ini untuk generasi muda menonjolkan bakat bakat terpendam kepada umum secara berkumpulan.

“Lebih menarik apabila cabaran dimulakan dengan pertandingan kugiran sebelum diakhiri penampilan di konsert mega yang tentu sahaja memberi pengalaman berbeza kepada peserta.

“Kami masih mengekalkan nama BOTB kerana sudah sinonim dengan kugiran terutama selepas pertandingan ini melahirkan ramai nama besar dalam industri muzik tanah air,” katanya pada sidang media yang berlangsung baru-baru ini.

Pengarah MASH Entertainment Sdn.Bhd. merangkap Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Hidayah (HERO), Dr. Murad Hilmi Mohamed.

Tambah Dr. Murad, festival yang menawarkan peluang merakamkan lagu kepada juara juga dilihat sebagai usaha meneruskan legasi mewarnai industri muzik tanah air.

Tarik peserta negara jiran

Bukan hanya membabitkan penyertaan peserta dalam negara, cabaran turut dibuka kepada mana-mana band atau kugiran dari seluruh Asia termasuk Brunei, Indonesia dan Singapura.

“Kami alu-alukan pembabitan band luar negara yang tentu saja mencetuskan impak positif program.

“Hakikatnya penganjuran BOTB secara tidak langsung membuka peluang kepada studio rakaman agar kembali bernafas apabila digunakan peserta untuk berlatih atau ‘jamming’.

“Pada masa sama kita turut mempromosikan nama negara di mata luar terutama dari segi muzik serta pelancongan,” tambah Dr. Murad.

Katanya lagi, fenomena yang bakal tercetus dengan penganjuran semula festival gah tersebut secara tidak langsung menaikkan martabat penggiat seni tanah air.

“Semoga festival ini dapat memberikan impak besar kepada industri muzik tempatan dengan kepelbagaian genre muzik berkualiti tinggi.

“Kami mahu mencari bakat berkualiti yang mampu kekal relevan dalam industri muzik, bukan tenggelam selepas muncul dengan satu single saja,” katanya.

BATTLE Of The Band menjadi medan anak muda mencanai bakat seterusnya mencari tapak untuk mencipta nama dalam arena seni tanah air.

Peserta perlu melalui sesi saringan peringkat pertama yang bakal berlangsung antara 7 hingga 10 September depan bertempat di Pasir Gudang, Johor.

Barisan artis legenda BOTB seperti Lord Lokman daripada kumpulan The Boys, selain pemain dram Ekamatra, Acid; ketua kumpulan dan pemain gitar Bloodshed, Hamdan dan Bagio Damasutra bertindak sebagai mentor program ini.

Seramai 15 peserta dipilih pada saringan pertama dan seterusnya diuji sekali lagi untuk sesi separuh akhir pada 23 September depan.

Kata Murad lagi, seramai 10 peserta terbaik akan dipilih untuk melayakkan diri ke peringkat finale yang bakal berlangsung di Jobox, Angsana, Johor Bahru.

Pemenang tempat pertama bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi dan berpeluang merakamkan single, manakala naib juara menerima RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok