Jelajah festival luar negara, Sumpahan Jerunei rangkul 6 trofi

BARU memulakan tayangan di tanah air bermula Khamis, 27 Julai lalu,  filem genre seram, budaya dan fiksyen, Sumpahan Jerunei terbitan Produksi Seni 2020 Sdn. Bhd. sudah awal-awal lagi meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila berjaya memenangi enam trofi pada Florence Film Awards, Itali dan Paris Film Awards.

Penerbit bersama filem, Datin Wendy Wong berkata, dia dan rakan kongsi, Datuk Nancie Foo bersyukur filem arahan Jason Chong itu mendapat pengiktirafan di peringkat global selepas berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Memang menjadi hasrat kami membawa filem Sumpahan Jerunei yang mengangkat kisah adat dan budaya unik kaum Melanau di Sarawak ke peringkat global dengan menghantar penyertaan ke tujuh festival antarabangsa.

“Syukur, alhamdulillah usaha kami membuahkan hasil apabila filem Sumpahan Jerunei mendapat lima anugerah di Florence Film Awards yang berlangsung di Tuscany, Itali dan satu lagi anugerah di Paris Film Awards,” katanya.

Mengenai anugerah itu, kata Wendy, filem Sumpahan Jerunei diumumkan memenangi lima anugerah membabitkan pelbagai kategori utama di Florence Film Awards pada Mei lalu.

“Lima anugerah diterima membabitkan kategori Filem Cereka Terbaik, Pengarah Terbaik (Jason Chong), Sinematografi Terbaik (Haris Hue Abdullah), Muzik Skor Asal Terbaik (Sharon Paul) dan Penerbit Terbaik (Wendy Wong dan Nancie Foo).

“Manakala, satu lagi anugerah menerusi kategori Filem Cereka Terbaik di Paris Film Awards pada Mac lalu,” katanya.

Tidak ketinggalan, kata Wendy, Sumpahan Jerunei turut terpilih untuk tayangan perdana sempena Julien Dubuque International Film Festival di Amerika Syarikat pada Mei lalu.

Filem Sumpahan Jerunei menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Daiyan Trisha, Tony Eusoff, Ruminah Sidek, Yuyun Hikmah dan ramai lagi. – HIBGLAM

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok