Enam tahun, enam kali baiki VFX Sumpahan Jerunei penuh cabaran

ENAM tahun masa diambil untuk menyempurnakan filem Sumpahan Jerunai bermula daripada proses penyelidikan hinggalah suntingan kesan khas termasuk efek visual (VFX) dan janaan imej (CGI), namun semua itu tidak mematahkan semangat Produksi Seni 2020 selaku penerbit berjuang demi karya mereka.

Penerbitnya, Datin Wendy Wong, berkata, kekurangan karya berkenaan dari segi teknologi CGI adalah disebabkan onar pengarah kesan khas dari Hollywood yang diambil untuk bersama-sama produksi sejak dari mula penggambaran.

Menurut Wendy, pihaknya sudah mengeluarkan bajet besar mencecah ratusan ribu ringgit untuk mendapatkan khidmat pengarah yang pernah memberi sentuhan kepada filem hebat seperti Harry Potter dan Spiderman itu.

“Asalnya kami memang menyerahkan tanggungjawab untuk kesan khas kepada seorang pengarah VFX dari Amerika Syarikat yang ada bersama produksi dari awal penggambaran.

“Namun, dia membuat permintaan tidak masuk akal apabila memberikan syarat supaya kami membuang nama pengarah filem ini iaitu Jason Chong jika mahu Sumpahan Jerunei mendapat kesan khas terbaik.

“Sudah tentu kami enggan melayani kemahuannya walaupun berulang kali dia menegaskan naskhah ini boleh memenangi banyak anugerah antarabangsa.

“Apabila ditolak, terus keesokan harinya dia pulang ke Amerika Syarikat yang membuatkan kami mengambil masa untuk melengkapkan VFX dan CGI membabitkan enam kali penambahbaikan dengan enam syarikat berbeza. Jadi, apa yang penonton itulah yang terbaik dapat kami berikan,” katanya selepas tayangan perdana filem seram tersebut baru-baru ini.

Sebagai karya seni yang berdasarkan kisah benar, kata Wendy, proses penyelidikan tesis selama dua tahun turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Muzium Sarawak, Persatuan Melanau Kuching dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak.

Malah, apabila berlakunya fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19, perkara tersebut turut memberi kesan terhadap proses suntingan dan promosi.

Namun, semua isu bukan satu kekangan biarpun naskhah tersebut banyak bergantung kepada kesan khas.Penggambaran banyak menggunakan skrin hijau walaupun hanya mengambil tempoh 45 hari.

“Filem ini menelan belanja lebih kurang RM5 juta bagi mengetengahkan kisah misteri yang jarang diketahui masyarakat tentang adat budaya dan ritual kaum Melanau pada abad ke-16, iaitu jerunei yang wujud di Sarawak.

“Sebab itu kami kena gunakan banyak kesan khas bagi menggambarkan situasi terutama membabitkan situasi genting termasuk ketika watak Syafie Naswip meraut pensil tetapi turut mengasah jari sendiri,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Bersama, Datuk Nancie Foo pula menyatakan segala isu berbangkit menjadi menguatkan semangat mereka untuk membuktikan Sumpahan Jerunei juga mampu ke peringkat global tanpa pembabitan pengarah kesan khas terbabit.

Dia dan rakan kongsi, Wendy sememangnya berhasrat untuk membawa filem Sumpahan Jerunei ke peringkat global.

“Hakikatnya, belum pun ditayangkan di pawagam tanah air, filem bergenre seram, budaya dan fiksyen, ini sudah menarik minat beberapa pengedar dan ejen filem di peringkat antarabangsa.

“Antaranya, Hong Kong International TV & Film Market 2016, Asia TV Forum & Market (ATF) di Singapura, Festival Filem Busan, MIPCOM Cannes 2019 dan Marche Du Film Cannes 2022 dan 2023.

“Setakat ini pengedar filem dari Kemboja dan Vietnam berminat untuk menayangkan filem Sumpahan Jerunei di sana dengan kini masih dalam fasa perbincangan.

“Kami juga akan bawa filem ini ke American Film Market, Santa Monica, Los Angeles, Amerika Syarikat dan lain-lain festival,” tambahnya mengenai filem yang ditayangkan bermula 27 Julai lalu.

Filem sentuhan Jason Chong itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Daiyan Trisha, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Ruminah Sidek dan Yuyun.

Awalnya Sumpahan Jerunei mahu diterbitkan sebagai dokumentari, namun maklum balas daripada pengedar filem antarabangsa meyakinkan Produksi Seni 2020 untuk menerbitkan filem berkenaan menjadi naskhah fiksyen bernuansa komersial. -HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok