Daiyan Trisha tertekan jadi doktor

BERILAH apa sahaja watak, penyanyi dan juga pelakon berkaliber Daiyan Trisha mampu menterjemahkan karakter yang digalas dengan sempurna, demi memenuhi kepuasan hati penonton.

Komitmen yang ditunjukkan Daiyan atau nama lengkapnya Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin memang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Buktinya, Daiyan, 29, tidak kisah ‘mengorbankan’ rambutnya demi memenuhi tuntutan watak sebagai Dr. Izara dalam siri adaptasi terbaharu, W: Two Worlds terbitan platform penstriman, Viu.

Kata Daiyan, dia tidak kisah memotong ‘mahkota’ kesayangannya itu kerana mahu tampil terbaik demi menggalas watak yang diberikan kepadanya.

“Saya okey sahaja (memotong rambut). Memang setiap kali terlibat dengan watak baharu, saya akan tampil dengan kelainan.

“Selain itu saya juga akan tinggalkan kerja-kerja lain untuk memberi fokus pada projek yang sedang saya jalankan,” katanya.

Dengan memegang watak sebagai seorang doktor dalam W: Two Worlds, Daiyan mengakui berasa sedikit tertekan dengan karakter tersebut kerana bimbang jika terdapat kesilapan semasa menjadi pakar perubatan.

Mengenali penonton Malaysia yang sememangnya agak cerewet, Daiyan berkata, dia seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada membuat kesilapan sewaktu mengendalikan peralatan perubatan, termasuk daripada segi sebutan terma dalam bidang kedoktoran.

“Saya akui penonton kita memang teliti, lebih-lebih lagi kalau seseorang pelakon itu membawakan watak sebagai seorang doktor.

“Saya sendiri bimbang jika melakukan kesilapan. Tapi saya beruntung sebab mempunyai keluarga dan kenalan yang menerajui bidang perubatan. Jadi saya banyak rujuk kepada mereka.

“Selain itu, saya juga banyak menonton YouTube untuk mendalami bidang perubatan. Saya tiada masalah untuk menghafal terma-terma dalam dunia kedoktoran kerana sewaktu belajar dahulu, saya berada dalam jurusan aliran sains,” katanya.

Berkongsi perasaan gembira terlibat dalam siri W: Two Worlds, dia sudah lama menunggu peluang untuk terbabit dalam naskhah adaptasi drama dari Korea (K-drama).

“Saya ditawarkan untuk terbabit dalam siri ini sejak tahun lalu lagi. Memang sangat gembira dan teruja sebab saya sendiri sudah pun menonton drama versi asal. Cerita ini memang seronok.

“Peluang yang diberikan ini cukup baik untuk saya memandangkan penonton kita sendiri gemar menonton K-drama,” jelasnya.

Sebagai persiapan, Daiyan telah pun melakukan persediaan sejak beberapa bulan lalu, malah dia sudah berulang kali membaca skrip, supaya karakter yang dibawakan melekat dalam jiwanya.

“Skrip siri ini sendiri saya sudah baca berulang-kali termasuk menonton drama asal. Bagaimanapun, kalau boleh saya mahu mengelak daripada terikut-ikut karakter sebenar dan mahu memberi kelainan.

“Karakter yang saya bawakan nanti juga tidak 100 peratus seperti karakter asal kerana saya akan membawakan watak tersebut, bersesuaian dengan selera penonton di Malaysia,” ujarnya yang bergandingan dengan pelakon hebat lain seperti Hun Haqeem, Mierul Aiman, Faizal Hussein dan Tony Eusoff. – HIB GLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok