Shuib beli banglo untuk ibu, bukan Watie

KECOH dengan khabar angin konon-kononnya telah awal-awal menyediakan sebuah banglo untuk isterinya Watie, pelawak Shuib Sepahtu tampil membuat penegasan bahawa kediaman yang bakal siap awal tahun depan itu adalah hadiah untuk ibunya, Salamiah Jalani.

Kata penyampai radio juga usahawan itu, isterinya sudah maklum berkenaan perancangan dibuat sebagai tanda kasih buat insan kesayangan mereka menikmati hari tua dengan selesa.

“Macam mana pula boleh timbul dakwaan saya belikan isteri banglo? Saya memang ada beli sebuah kediaman, tetapi hadiah untuk ibu.

“Rumah yang sedang dalam pembinaan itu lokasinya di Johor, memang tempat asal ibu saya dan dijangka dapat disempurnakan pada Januari 2024.

“Watie pun sedia maklum hal ini, jadi cerita saya hadiahkan isteri sebuah banglo tidak betul,” kata pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad itu selepas majlis pernikahannya, malam semalam.

Kenyataan tersebut bagi menjawab soalan media berhubung desas-desus dalam kalangan netizen yang mengatakan Shuib menyiapkan banglo buat sebagai hadiah perkahwinan.

Terdahulu, Shuib, selamat bergelar suami kepada Watie atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, dengan sekali lafaz disaksikan 600 jemputan.

Pada majlis yang berlangsung di Putra Glass House, Putra Heights itu Shuib diiringi ibunya menuju meja pernikahan sebelum ijabkabul dimulakan.

Pada masa sama, Shuib turut menyatakan anak bongsunya, Ayash Affan, 2, masih dijaga ibunya di Johor yang juga atas permintaan wanita dihormatinya itu.

“Sebelum ini, ibu kata mahu jaga Ayash sampai pandai berjalan. Baru-baru ini, saya tanya lagi, dia kata tunggu sampai Ayash pandai bercakap pula.

“Tetapi, tidak mengapalah kerana ibu pun rajin turun ke Kuala Lumpur. Kadang kala sebulan tiga kali ibu akan berulang-alik ke rumah saya,” katanya.

Sehari selepas bernikah, Shuin dan Watie sempat berbulan madu di Langkawi sebelum ‘terbang’ ke Turkiye bercuti bersama keempat-empat anaknya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok