Pasangan selebriti juga usahawan popular, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal kesal dengan lambakan produk tiruan jenama kosmetik keluarannya di pasaran hasil perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil jalan pintas untuk mengaut keuntungan.
Menyifatkan tindakan sebegitu sesuatu yang melampau dan pentingkan diri sendiri, Aeril mengakui terkejut apabila menyedari kerja keras penghasilan dan kos promosi mencecah jutaan ringgit yang dilaburkan kini ‘dicuri’ pihak lain.
“Saya sebenarnya sangat ‘down’ dan terkejut dengan benda ni. Saya tak sangka produk saya dipalsukan sebab kita baru nak naik, kita berhabis jutaan ringgit untuk promosikan sunscreen ini.
“Bila ada orang cuba ambil kesempatan, tak adillah untuk ‘resellers’ yang sudah bersama dengan kami sejak lima tahun lepas, yang memang hari-hari buat ‘live’.
“Mereka berpenat lelah untuk Wawa Cosmetic ni, dengan senang-senang saja awak palsukan (produk),” ujar pasangan tersebut ketika bersiaran langsung di TikTok baru-baru ini.
Jelas pasangan sama cantik sama padan itu lagi, mereka tidak akan menghalalkan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut dan menyifatkan rezeki yang diperolehi hasil jualan produk palsu sebagai tidak berkat dan haram
Aeril juga berpendapat bawa pihak terbabir tidak akan menyesali perbuatan yang dilakukan memandangkan sudah mengeluarkan produk tiruan tersebut tanpa berfikir panjang.
“Dah tahu buat dosa, kita cakap pun bukannya dia taubat dan buang barang-barang tiruan tu,” katanya.
Dalam hantaran berbeza, Wawa juga sempat memuat naik video menunjukkan perbezaan tekstur dan bau antara sunscreen asli dan tiruan, sekali gus menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah tertipu.
“Sunscreen yang original, teksturnya sangat ‘creamy’, apabila ‘blend’, mudah untuk meresap dengan cepat. Kalau tiruan, teksturnya terus keluar apabila disapu macam pakai losyen badan, susah nak ‘blend’. Bau pun macam ubat gigi,” ujarnya kecewa.
Untuk rekod, Wawa dan Aeril pernah menyertai serbuan di sebuah premis di Taman Putra Utama, Kangar pada tahun 2020 apabila premis tersebut dipercayai telah mengedarkan produk kosmetik tiruan jenama mereka secara berleluasa. – KOSMO! ONLINE.