BARU-BARU ini, negara dirundung dengan berita menyayat hati melibatkan tragedi kepala air.
Fenomena kepala air berlaku apabila aliran air sungai menjadi kuat akibat hujan lebat di kawasan anak sungai atau hulu sungai sebelum mengalir ke sungai utama.
Keadaan tersebut diburukkan lagi jika di kawasan terbabit terdapat air bawah tanah serta kejadian runtuhan tanah di hulu sungai.
Impak kelajuan arus yang terbentuk daripada insiden itu menyebabkan ia seakan-akan berlaku dalam sekelip mata.
Pada minggu ini, Horizon ingin berkongsi tip untuk mengesan tandatanda awal kepala air sebagai langkah berjaga-jaga.
Langit gelap di bahagian hulu sungai
Sebelum merancang untukmelakukan aktiviti di lokasi air terjun dan sungai, orang ramai digalakkan untuk memantau keadaan cuaca di kawasan sekitar terlebih dahulu.
Sekiranya anda mendapati langit di hulu sungai atau puncak bukit kelihatan semakin mendung, ambil inisiatif untuk segera tinggalkan lokasi sungai tadi.
Walaupun langit di kawasan tempat mandi-manda itu masih cerah, namun berkemungkinan pada bahagian hulu sungai sudah turun hujan.
Bunyi guruh dan kilat
Kilat dan guruh biasanya akan muncul ketika hujan sebagai tindak balas kepada perubahan suhu persekitaran. Jika terdengar bunyi guruh dan ternampak pancaran kilat, segera tinggalkan kawasan sungai.
Tidak mustahil hujan lebat sudah berlaku di atas bukit.
Bunyi dentuman batu dalam sungai
Arus deras dari atas bukit akan menolak batu-batu kecil untuk turun mengikuti aliran sungai ke bahagian sungai utama.
Ini akan menghasilkan bunyi dentuman gerakan batu-batu di dalam sungai dan ia boleh dijadikan sebagai satu amaran.
Air sungai kekuningan dan berbuih
Peningkatan arus air dari bahagian atas bukit akan menyebabkan banyak partikel-partikel tanah dibawa bersama. Ini akan menyebabkan air sungai berubah warna kepada kekuning- kuningan secara tiba-tiba.
Perkara ini juga akan membuatkan air sungai berbuih dengan jumlah yang banyak di bahagian permukaan.
Isi sungai terapung
Kelajuan air menyebabkan ke semua isi alam yang ada di dalam sungai dihanyutkan bersama. Isi sungai tersebut termasuklah keladak, daun reput, ranting serta kayu-kayu kecil.
Jika nampak objek-objek ini muncul dengan banyak di permukaan air, segera tinggalkan tebing sungai. – HIBGLAM