Aksesori serlah jiwa maskulin

PILIHAN dan pemakaian aksesori adalah salah satu cara kita menyerlahkan ekspresi diri atau personaliti yang mahu ditampilkan kepada masyarakat.

Kita perlu mengetahui bagaimana rekaan yang paling sesuai dengan kita serta kebijaksanaan menyuai padan pakaian dan aksesori dengan cara yang sofistikated. Paling penting, kita perlu selalu berani bereksperimentasi untuk mendapatkan gaya terbaik.

Kita amat beruntung kerana terdapat banyak pilihan fesyen aksesori di pasaran yang memenuhi pelbagai cita rasa dan bajet. Namun perlu diingat, rekaan aksesori tertentu mungkin menarik apabila digayakan oleh seseorang individu, tetapi hasilnya mungkin tidak sama apabila digayakan oleh individu yang lain.

 

Gelang, rantai
Apabila memakai bracelet (gelang tangan atau rantai tangan), pilih rekaan yang bersaiz kecil dan ringkas. Ikon filem Barat seperti Cary Grant, sentiasa memilih untuk memakai rantai tangan emas bersama jam tangan beliau dan sememangnya ia kelihatan amat bergaya. Namun begitu, anda bebas untuk memilih saiz mengikut naluri hati.

Kaca mata
Bagi yang mengumpul kaca mata, anda wajib dapatkan kaca mata berbentuk bulat inspirasi daripada ikon-ikon muzik antarabangsa. Apapun saiz adalah amat penting, pilihlah kaca mata bulat yang tidak terlalu kecil seperti John Lennon dan tidak terlalu besar seperti Ryan Gosling. Gaya ini sememangnya menyerlahkan gaya intelektual yang cukup hip sealiran trend fesyen. Bagi anda yang menggemari gaya klasik pula, kaca mata Aviator masih tetap unggul dan jadi kemestian ikon-ikon fesyen.

Pharrell Williams

Topi
Topi pula cukup versatil dan hip digayakan dengan pelbagai rekaan fesyen dan kini trend pemakaiannya boleh dilihat di mana-mana, serta menjadi pilihan remaja khususnya. Lihat saja Pharrell Williams yang menjadikan topi sebagai trademark penampilan yang cukup cool.

Beg
Bagi penggemar beg pula, dapatkan beg tote yang diperbuat daripada kanvas dalam warna kelabu, gading atau yang terang seperti hijau (kelly green) atau biru langit (azure). Beg ini cukup tahan lasak serta terdapat pelbagai pilihan warna, reka corak serta boleh diisi dengan pelbagai keperluan kuliah atau ke gimnasium termasuklah kasut sneakers (sniker) atau iPad.

Tali leher aksesori paling mudah digayakan dan dapat menyerlahkan lagi penampilan si pemakai.

Tali leher
Bagi pengumpul tali leher, pilihan paling stylish, ceria serta terkini adalah tali leher rona neutral, pastel atau rona lembut yang fabriknya diperbuat daripada kapas dan linen. Ia punya tekstur yang unik dan paling cool dipadankan dengan kemeja oxford, jean mahupun sut. Tali leher adalah aksesori yang paling mudah digayakan serta dapat jadikan penampilan lebih menarik dan segar.

Jam bukan sekadar keperluan tetapi penting sebagai aksesori penambah gaya.

Jam tangan
Jam tangan bukan hanya simbol status tetapi ia kini merupakan simbol gaya (style symbol) lelaki kontemporari yang pentingkan keterampilan. Untuk lebih gaya, pilih tali jam yang diperbuat daripada nilon, kulit dan besi tahan karat (stainless steel) dalam rona perak. Apa yang unik, jam tangan adalah aksesori yang tiada sempadan. Paling penting apabila digayakan, ia tidak bertentangan dengan mana-mana kepercayaan (agama) atau merosakkan peradaban pakaian tradisi.

Tali pinggang kulit bersaiz lebar sesuai buat mereka yang sukakan gaya rugged.

Tali pinggang, sniker
Bagi mereka yang suka penampilan yang rugged, dapatkan tali pinggang kulit tahan lasak yang bersaiz lebar. Bagi mereka yang gemarkan sniker, kasut sniker warna putih atau hitam yang ringkas wajib ada dalam koleksi anda. Ia cukup versatil, in-trend dan boleh serlahkan lagi penampilan yang lebih cool.

Variasi penampilan

Untuk menukar penampilan agar lebih bervariasi serta ada kelainan, cuba menggayakan aksesori dengan cara atau pilihan yang berlainan setiap kali anda keluar rumah. Jika selalunya anda memakai kemeja putih, untuk kelainan, pakailah tali leher pada salah satu hari bekerja anda. Cuba bereksperimentasi dengan jam tangan (mungkin warna emas), kafling dan rekaan tali pinggang yang berlainan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok