Arwah ada masalah jantung – Ashira Aziz

PENYANYI Ashira Aziz terkejut dan tidak menyangka menerima perkhabaran bekas suaminya, Bad Indigo meninggal dunia pada pukul 7 petang tadi.

Ashira atau nama lengkapnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 39, ketika dihubungi HibGlam berkata, dia dimaklumkan penyanyi Liza Hanim, Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berada di tempat kerjanya di Ampang.

“Arwah meninggal akibat serangan jantung di tempat kerja. Difahamkan arwah masih ada di sana (tempat kerja) dan belum dibawa ke hospital,” katanya kepada HibGlam.

Ujar Ashira, ketika masih bergelar isteri kepada Bad, bekas suaminya itu pernah memaklumkan tentang masalah jantung yang dihidapinya, selain turut menunjukkan ubat-ubatan (berkaitan jantung) yang perlu dimakan jika berlaku serangan mengejut.

“Sebelum ini arwah memang ada cakap dia ada masalah jantung. Dia juga pernah tunjukkan saya ubat-ubatan yang dia makan supaya saya tahu jika terjadi apa-apa kepadanya.

“Tapi dia ada beritahu juga, sudah lama tidak mempunyai apa-apa masalah pada jantungnya. Namun, sudah ajalnya begitu,” jelas Ashira.

Pada masa sama, bekas Bintang program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu berkata, dia sudah lama tidak berhubung dengan arwah sejak berpisah pada Jun tahun lalu dan membawa haluan hidup masing-masing.

Bagaimanapun, berdasarkan hantaran yang dikongsikan Bad dalam media sosial, Ashira gembira melihat bekas suaminya semakin sihat dan cergas berbanding ketika dia jatuh sakit.

“Saya sudah lama tidak berhubung atau berjumpa dengan arwah sejak berpisah. Masing-masing bawa haluan sendiri. Tapi saya nampak perubahan arwah yang nampak semakin sihat menerusi perkongsiannya dalam TikTok.

“Tapi, tidak sangka pula hari ini arwah telah pergi buat selama-lamanya,” kata Ashira.

Terdahulu, Ashira pernah mendirikan rumah tangga dengan Bad atau nama lengkapnya Badrul Izhan Yeop Abdullah pada 11 Mac 2021.

Sayangnya, perkahwinan mereka menemui titik noktah apabila masing-masing sepakat memilih berpisah sekitar Jun tahun lalu.

Hari ini, dunia hiburan dikejutkan dengan berita kematian penyanyi berusia 48 tahun itu yang dikongsikan penyanyi, Liza Hanim menerusi hantaran dalam InstaStory. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok