Haqiem, Ariff juara minggu kedua FD3

TAMPIL berani mengetengahkan konsep solidariti terhadap rakyat Palestin melayakkan penyanyi Haqiem Rusli dan Ariff Bahran yang membawakan lagu medley Earth Song dan We Will Not Die diangkat sebagai juara minggu kedua Famili Duo musim tiga (FD3).

Meraih mata keseluruhan sebanyak 60.9 peratus, pasangan duo itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 sekali gus menundukkan pasangan Shila Amzah dan Syahir Amzah yang berada di tempat kedua dengan mata 45.4 peratus diikuti Syarif dan Shaiful Zero (33.1 peratus).

Persembahan Haqiem dan Ariff menuai pujian juri FD3, Mas Idayu dan Ajai yang menyifatkan mereka berjaya membawakan lagu nyanyian asal Michael Jackson dan Michael Heart itu dengan baik sehingga menyentuh emosi penonton.

Manakala empat lagi peserta iaitu Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi mendapat 45.3 peratus mata; Tom dan Fuad Rahman (32.8 peratus) serta Ryan Bakery dan Adam Bakery (22.5 peratus).

Susulan kemenangan itu, Haqiem dan Ariff memilih tema Rock Medley – Slow or fast untuk dipersembahkan setiap peserta pada konsert minggu ketiga, Ahad depan.

Sementara itu, konsert minggu kedua FD3 turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon sensasi, Sophia Albarakbah serta pasangan pengantin baharu, Sabri Yunus dan Angeline Tan.

Menerusi pertandingan nyanyian yang berlangsung selama lapan minggu itu, juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Pemenang mingguan pula dipilih berdasarkan permarkahan juri sebanyak 70 peratus manakala undian dalam talian melalui Tonton pula 30 peratus. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok