BIARPUN isu penggantungan kontrak kumpulan Fifty Fifty dengan syarikat pengurusannya Attrakt masih dalam perbicaraan, penyanyi Keena mengambil keputusan merayu mahkamah menarik balik kes berkenaan.
Keputusan tersebut dibuat selepas ahli Fifty Fifty itu menukar wakil sahnya daripada firma guaman Baren kepada Shinwon dengan niat mahu kembali ke syarikat terbabit.
Pendekatan pemilik nama sebenar Song Ja-kyung itu menandakan titik perubahan dalam kontroversi kontrak eksklusif Fifty Fifty.
Sebelum ini, kumpulan terbabit memfailkan penggantungan kontrak eksklusif dengan agensi mereka yang mengheret krisis berpanjangan.
Berbeza dengan anggota lain yang ingin bebas memilih haluan sendiri, Keena menyuarakan hasrat mahu terus berada bawah Attrakt tanpa menyatakan sebab tertentu.