Sindir netizen, Aishah dilabel tidak profesional

GARA-GARA memberikan ucapan tidak sepatutnya setelah tersingkir dari program All Stars Gegar Vaganza musim ke 10 (GV10) malam tadi, Datuk Aishah dikritik netizen yang menganggapnya tidak profesional.

Apabila diumumkan menduduki tangga terbawah dengan markah sebanyak 43.75 peratus, sekali gus menjadi peserta ketiga yang tersingkir dalam GV10, Aishah secara spontan telah berkata penyingkirannya dalam program tersebut merupakan doa orang ramai yang telah dimakbulkan.

Rata-rata berpendapat, sebagai penyanyi senior yang telah berpengalaman lebih daripada 30 tahun dalam bidang nyanyian, Aishah atau nama lengkapnya Wan Aishah Wan Ariffin, 58, perlu mempamerkan sikap profesional dan menerima adat kalah dan menang dalam sesuatu pertandingan.

Menerusi tinjauan HibGlam, ramai netizen mengkritik cara dan sikap penyanyi yang popular menerusi lagu Janji Manismu itu apabila dianggap bersikap tidak profesional selain dikatakan suka buat muka apabila dikomen di atas pentas.

“Tak profesional langsung. Sebagai penyanyi berpengalaman, tidak seharusnya bagi ucapan sebegitu. Seolah-olah menyalahkan orang ramai sebab dia terkeluar dari pertandingan,” kata seorang netizen.

“Jadilah penyanyi profesional kak Aishah. Rezeki lain-lain. Inikan pertandingan,” tegur seorang lagi netizen.

“Sebaik-baiknya berikan ucapan yang positif setelah tersingkir. Bukannya ucapan yang negatif. Anda mengatakan ramai yang mendoakan anda terkeluar. Jika anda tidak bagus, pasti akan terkeluar. Adat pertandingan,” kata seorang pengguna media sosial.

Terdahulu, sewaktu konsert minggu keempat GV10 yang berlangsung malam tadi, Aishah yang menyanyikan lagu Terlanjur Cinta secara duet bersama penyanyi, Vince terpaksa akur apabila tersingkir.

“Rasanya ramai yang gembira apabila doa mereka dimakbulkan untuk lihat saya tersingkir,” ucap Aishah sewaktu diumumkan sebagai peserta GV10 yang terkeluar.

Ucapan yang terluncur dari mulut penyanyi itu membuatkan ramai penonton GV10 terkejut seterusnya menyifatkan Aishah seolah-olah menyindir netizen yang selama ini tidak suka dengannya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok