Peminat tak bodoh, tahu kita ikhlas – DJ Lin

EMPAT bulan sudah berlalu, namun penangan Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) masih berbekas di hati sesetengah pihak.

Penyampai juga orang kuat radio Suria FM antaranya yang dirasakan terpalit tempias, lebih-lebih kemenangan rakan setugas, Tyzo membuat kejutan menang trofi Penyampai Radio Popular ABP35 sekali gus menamatkan penguasaannya selama empat kali berturut-turut di takhta berkenaan.

Tidak merajuk duka, namun tidak juga menafikan kehampaan, pemilik nama lengkap Roslinda Abdul Majid bagaimanapun selesa memilih untuk menghargai jasa peminat yang mengharap dirinya beroleh kemenangan terbaik.

“Mereka juga sudah melaksanakan tugas apabila mengundi saya tanpa henti.

“Semuanya Untuk Anugerah Bintang Popular lalu, saya bersama peminat seluruh Malaysia dan luar negara sudah lakukan yang terbaik. Namun, apabila kemenangan tidak berpihak kepada saya, sejujurnya tidak dinafikan, saya dan peminat berasaha hampa,” katanya membuka bicara.

Mahu meredakan keadaan, wanita berusia 48 tahun itu cuba menenangkan peminat dan menerima semua ketentuan dengan hati terbuka.

“Saya cuba tenangkan peminat kerana saya percaya ada rezeki lain. Adat pertandingan ada kalah ada menang.

“Saya sangat reda dengan qada dan qadar Allah tetapi saya tidak duduk diam goyang kaki dan akan lebih bertungkus-lumus nanti,” ujarnya.

SEIRING dengan kematangan usia, DJ Lin menjadi selebriti yang semakin menghargai peminat.

Bagi ibu tunggal itu, insiden kekalahan tersebut ternyata banyak membuka matanya tentang kesetiaan peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan padu.

“Apabila terjadinya begini, saya sedar betapa setianya peminat terhadap saya.

“Kesetiaan mereka tidak boleh dibandingkan dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Semuanya buat saya semakin bersemangat.

“Perkara utama adalah saya tidak akan putus asa. Allah mahu tengok kita jatuh supaya tidak berhenti
berusaha,” tuturnya alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Dalam masa sama, Pengurus Besar Suria FM itu sedia maklum dengan kebijaksanaan peminat yang tahu menilai baik buruk seseorang artis.

“Peminat tidak bodoh. Mereka boleh bandingkan sama ada kita ikhlas atau hanya menggunakan mereka demi sesuatu kepentingan.

Daripada dahulu lagi saya ambil pendekatan untuk membalas setiap komen dan mesej peribadi yang dihantar peminat. Saya juga layan mereka dengan baik sewaktu diajak bergambar.

Bagi saya, bukan selalu untuk jumpa peminat. Apa pun keadaan kena rendah diri dan banyak bersyukur,” ujar anak jati Larkin, Johor Bahru itu.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok