Persis ‘stand-up comedy’, Zainal Abidin penghibur sejati

USAI menyaksikan konsert Zainal Abidin Tiba Masa di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, ternyata memang sukar untuk mana-mana penyanyi lain menandingi figura bernama Datuk Zainal Abidin.

Tanpa sepatah gimik murahan mahupun penyanyi undangan, Zainal berjaya memukau lebih 1,000 penonton yang hadir dengan susunan melodi hasil gabungan barisan pemuzik berpengaruh bawah pimpinan, Mac Chew.

Pada malam tersebut, persembahannya dirangka ibarat garis masa menyaksikan perjalanan kelana kariernya sebagai penghibur sepanjang 40 tahun.

Membuka tirai segmen pertama, penyanyi berusia 64 tahun itu muncul bersama Headwind menerusi lagu Memori Luka yang popular sekitar 1986.

ZAINAL penghibur sejati yang mampu memukau hati penonton dengan persembahannya cemerlang selain mahir berinteraksi di atas pentas.

Tidak berlama-lama, Zainal seterusnya mendendangkan Hanya di Radio sebelum beralih ke lagu kegilaan ramai iaitu Suraya yang menggamatkan Panggung Sari dengan nyanyian bersama.

Membuka bicara, Zainal terharu apabila ramai yang hadir untuk menyaksikan persembahannya yang dianggap sudah berada dalam kategori ‘berusia’.

“Saya rasa sangat tua ketika ini. Sudah beberapa tahun kami (Headwind) tidak membuat persembahan bersama.

“Kami semua dari zaman ‘dinosaur’ dan sangat tua, mengapa datang untuk lihat kami,” katanya berseloroh kepada penonton yang rata-ratanya berusia sekitar 40-an hingga 60-an.

Menutup segmen pertama, anak kelahiran Johor itu terus membuai emosi penonton dengan mendendangkan Segalanya Mungkin dan Kita Serupa.

MEMBUAT penonton tidak kering gusi, Zainal melepas ‘gian’ berinteraksi dengan penonton sehingga terleka bahawa persembahannya sudah melebihi masa sepatutnya.

Tidak dinafikan Zainal sangat bijak bermain emosi sehingga ada yang menitiskan air mata pada detik Segalanya Mungkin didendangkan.

“Lagu ini sangat susah untuk dinyanyikan, rasa seperti nyawa di hujung tanduk.

“Rasa nak mati nak tunggu (menyanyi) sampai akhir, namun makna di sebalik lagu ini sangat indah,” tuturnya.

Menerusi segmen kedua, Zainal membawa penonton melalui lorong masa ke era 1990-an iaitu zaman kegemilangannya sebagai penyanyi solo.

Antara lagu yang disampaikan termasuklah, Senang-Senang, Sabar, Telaga, Debu Liar dan Damai.

Tidak ketinggalan, lagu Manis daripada album Zainal Abidin yang diterbitkan sekitar 1992. Lagu tersebut turut membuatkan penonton ikut berdansa bersama.

Sebelum mengakhiri segmen kedua, hati penonton terusik apabila video memaparkan rakan seperjuangannya, Allahyarham Adibah Nor ditayangkan.

Video tersebut sebagai tanda penghormatan terhadap sahabat baiknya itu sekali gus mengundang suasana sayu, tambahan pula dilatari lagu Terlalu Istimewa menerusi gesekan biola.

SEDIKIT selingan, Datuk Afdlin Shauki turut masuk ke gelanggang sama-sama dengan Zainal mendendangkan lagu Ikhlas Tapi Jauh.

Seperti dijanjikan sejak awal, Zainal seterusnya menghiburkan ramai dengan single terbaharu berjudul Tiba Masa yang baru dilancarkan bulan lalu.

Seperti Hijau yang menjadi dendangan wajibnya, Tiba Masa boleh dikatakan sebagai kesinambungan lagu mengenai kepentingan menjaga alam sekitar demi kesejahteraan sejagat itu.

Zainal turut menggamit memori dengan lagu paling dinantikan iaitu Hijau sudah mencecah lebih tiga dekad.

Tirai persembahan yang dibawakan Sync Live dan X-FWD Management tersebut kemudiannya ditutup dengan lagu Ikhlas Tapi Jauh.

ZAINAL mengundang seorang penonton bertuah menyanyi bersamanya.

Sedikit kecewa terbit dalam hati dek beberapa judul seperti Puteri, Gaia, Ceritera dan Kau Di Hatiku tidak didendangkan pada malam tersebut.

Kekecewaan bagaimanapun agak terubat dek sebuah konsert yang bukan hanya dihidangkan dengan nyanyian semata-mata tetapi juga celoteh dan lawak jenaka Zainal.

Selain nyanyian, penonton seperti menyaksikan persembahan ‘stand-up comedy’ dengan telatah Zainal.

Meskipun terdapat gurauannya yang kedengaran agak kasar, namun satu pun tidak meninggalkan luka di hati kerana sikap Zainal yang suka mengusik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok