SEKALI lagi isteri Syamsul Yusof, Ira Kazar meraih perhatian apabila didakwa sedang berdepan kifarah sehingga mengundang tanda tanya ramai.
Perkara tersebut didedahkan isteri pelakon, Azlan Komeng iaitu Nur Nilam Ortiz dalam siaran langsung
bersama wanita terbabit menerusi platform TikTok, baru-baru ini.
Walaupun tidak memperincikan maksud di sebalik kata-katanya, Nur Nilam menyatakan Ira sudah reda dan ikhlas berdepan ujian hidup.
“Dia (Ira) terima, dia ikhlas. Insya-Allah. Kita doa yang baik-baik untuk dia,” katanya dalam sesi berkenaan.
Ira, 28, yang bertudung merah pula kelihatan leka bermain telefon seolah-olah tidak terkesan dengan kifarah diperkatakan rakannya itu.
Kifarah membawa maksud balasan Allah di dunia akibat dosa dilakukan hamba-Nya, juga ujian yang mungkin membabitkan kematian orang dikasihi, kehilangan harta benda atau penyakit, tidak kira sama ada dalam tempoh lama atau sekejap.
Pada masa sama, perkongsian tersebut turut dibanjiri komen negatif netizen yang rata-rata menghentam anak pelakon, Kazar Saisi itu hingga membuatkan Nur Nilam terkejut.
Melihat pelbagai bahasa kurang menyenangkan, Nur Nilam bertanya bagaimana Ira mampu berdepan cemuhan selama ini.
“Astagfirullahalazim. Jangan macam itu sayang (panggilan buat pengikutnya), kesayangan kakak semua jangan macam ini.
“Aku tak faham macam mana kau (Ira) boleh hadap,” katanya yang terkejut dengan komen pedas netizen dalam siaran langsung berkenaan.
Menerusi video tersebut dapat dilihat pemilik nama sebenar Faghirah Fatini Kazaruddin, 28, bersahaja duduk di belakang Nur Nilam dan sesekali tersenyum bagai tiada apa-apa berlaku.
Malah Ira juga tampak tenang tanpa menunjukkan emosi marah mahupun terkejut, sebaliknya meminta Nur Nilam jangan mempedulikan provokasi.
Kenyataan dibuat menimbulkan rasa ingin tahu netizen sehingga meminta pensohor media sosial itu bercerita lebih lanjut tentang kifarah diterima Ira.
Ira dan Syamsul berkahwin pada 5 Januari lalu di Thailand dengan hanya mengumumkan perkara itu itu menerusi perkongsian sutradara tersebut dalam Instagram.
Sebelum itu nama Ira panas apabila didakwa menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Syamsul dan bekas isteri, Puteri Sarah Liana.
Bagaimanapun kemelut panjang perkahwinan Syamsul dan Puteri Sarah berakhir apabila bercerai dengan talak satu pada 14 Jun lalu.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4. – HIBGLAM