KEKECEWAAN peminat Lah Ahmad yang terlepas menyaksikan aksi solo penyanyi Lah Ahmad pada Januari lalu bakal terubat dengan penganjuran konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta, 7 Oktober ini.
Berlangsung di panggung berprestij Istana Budaya, persembahan mega tersebut lebih istimewa apabila ada seleksi dendangannya diiringi pemuzik orkestra.
Bagai bulan jatuh ke riba, pelawaan Rubbertapper Production House disahut dengan semangat membara, sekali gus hadiah bermakna sempena ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam industri muzik.
“Konsert ini merupakan sekuel kepada konsert saya yang diadakan awal tahun, namun kali ini di lokasi gah di Istana Budaya yang tentu kapasiti penonton juga lebih ramai.
“Terlalu banyak ingin saya kongsikan bersama peminat yang membesar dengan lagu saya, selain itu saya juga akan menyampaikan saduran yang memang menjadi pilihan ramai.
“Saya juga akan berkolaborasi dengan Orkestra Simfoni Universiti Malaya yang bakal menjadi persembahan bertaraf antarabangsa sesuai dengan lokasi pilihan,” kata Lah usai sidang media pelancaran konsert di ibu negara, baru-baru ini.
Mengakui tidak sabar beraksi dengan deretan lagu malar segar, Lah atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad, 43, kini giat melakukan persiapan terakhir dari segi mental dan fizikal menjelang konsert.
Seperti rutin setiap kali mahu mengadakan persembahan besar, bekas anggota VE itu berpuasa bagi mempertingkatkan stamina.
“Konsert dijangka berdurasi dua jam dengan sekitar 20 buah dendangan, jadi saya perlu menjaga stamina supaya terus bertahan sehingga akhir garisan.
“Selain bersenam, berpuasa juga banyak membantu untuk kekal cergas sepanjang persembahan bagi memberikan impak maksimum,” tambah pelantun lagu Kenapa itu.
Sudah memulakan siri latihan terutama mencakupi penguasaan vokal, cabaran utama bagi setiap penyanyi menjelang konsert adalah memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik.
“Dalam situasi sekarang, kita mudah mendapat jangkitan demam akibat virus, jadi buat sementara waktu saya cuba elakkan berada di kawasan padat.
“Ini sebagai langkah berjaga-jaga kerana apabila demam, secara tidak langsung boleh mengganggu tekak dan vokal, jadi kita ambil langkah perlu,” ulasnya.
Ditanya tentang artis undangan, Lah menyatakan perkara itu bakal diumumkan dalam tempoh terdekat yang pastinya membabitkan rakan seperjuangan dalam arena R&B.
“Mengenai penyanyi undangan, kita umumkan nanti tetapi dari segi pemilihan lagu, saya akan membawakan seleksi yang belum pernah saya nyanyikan sepanjang lebih dua dekad dalam industri serta beberapa lagu ketika bersama kumpulan VE,” katanya.
Mengunakan khidmat Datuk Reduan Yusof sebagai Pengarah Projek, manakala Muhammad Shahwalnaz Hussin daripada Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya sebagai Pengarah Muzik, konsert dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital tersebut dijangka memulangkan momen indah buat peminat yang menyokong karier seni bekas anggota VE itu selama ini.
Tiket menonton Lah Ahmad Jatuh Cinta Live at Istana Budaya boleh dibeli secara dalam talian dengan melayari iLasso Tickets. – HIBGLAM