Qistina Raisah diganggu pedofilia berstatus ‘bapa orang’

PELAKON remaja, Qistina Raisah mendedahkan pernah menerima gangguan seksual daripada golongan pedofilia yang selalu menghantar gambar-gambar lucah menggunakan e-mel dan Instagram.

Belum melaporkan jenayah itu kepada polis, Qistina atau nama sebenar­nya Nur Qistina Raisah Mohd. Kamarul Azri, 15,  sebaliknya hanya menyekat akaun yang dimiliki lelaki tersebut bagi mengelakkan gangguan berulang.

“Ada dalam kalangan mereka yang berstatus suami yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak, hantar gambar bukan-bukan yang mereka edit sendiri.

“Keadaan ini membuatkan saya tak selesa dan rasa tidak selamat dan sentiasa berhati-hati apabila berada di tempat awam.

“Alhamdulillah, buat masa ini belum ada yang ganggu sampai ikut ke rumah. Sebab itu saya tak lapor kepada polis, hanya sekat akaun media sosial milik individu yang kerap hantar gambar tak senonoh,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Qistina turut meluahkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir lelaki yang mengeluarkan komen dan berimaginasi lucah terhadapnya.

“Pakaian saya tidaklah seksi. Kadang pakai  baju-T biasa pun orang pandang ‘lain’, terdedah di mata mereka.

“Ada warganet terlalu ‘berimaginasi’, membuatkan saya tidak selesa,” kongsinya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok