Tak kacau periuk nasi kau kan? – Aishah

GERAM dengan sikap segelintir netizen yang suka mencari kesalahan barisan peserta program All Stars Gegar Vaganza (GV10) pada minggu pertama, Ahad lalu, penyanyi Datuk Aishah tampil menempelak golongan disifatkan melampau itu.

Menurut Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, individu terbabit boleh memilih untuk tidak menonton pertandingan tersebut jika tidak berpuas hati dengan peserta, pengacara mahu pun keseluruha penganjuran program popular terbabit.

“Tak suka tengok artis sendu tak payah tengok, tak suka tengok pengacara sendu, tak payah tengok.

“Tak suka format rancangan, tak payah tengok. Tak suka apa-apa pun tak payah tengok atau terlibat langsung,” luahnya menerusi hantaran dalam Instagram.

Pada masa sama, pelantun lagu Janji Manismu itu menyifatkan kemunculan semula penyanyi dalam pertandingan berkenaan adalah atas dasar kelayakan selain mahu menghiburkan penonton serta peminat setia mereka.

“Kau siapa nak komen macam tu? Macam kau terpaling betul dan berhak dekat dunia ni.

“Bagilah kami yang suka tengok. Tak kacau periuk nasi kau kan? katanya.

Minggu lalu, selain pengacara GV10 iaitu Nabil Ahmad, Elly Mazlien dan Jihan Muse teruk dikritik netizen, barisan peserta yang terdiri daripada bekas-bekas juara GV musim terdahulu juga turut dikecam berikutan kualiti persembahan yang dikatakan tidak memenuhi jangkaan khalayak.

Selain Aishah, GV10 turut disertai Ayai Illusi, Siti Nordiana, Azharina Azhar, Noryn Aziz, Naqiu, Boboy, Hady Mirza, Cliff Umar, Aliff Aziz, dan Jaclyn Victor.

Lima lagi bintang yang berjaya menduduki kerusi ‘hot seats’ GV10 pula adalah Ezad Lazim, Tomok, Suki, Liza Hanim dan Nikki Palikat menjadikan jumlah peserta seramai 16 orang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok