Status selebriti bukan lesen langgar undang-undang – Dazrin Kamarudin

PELAKON  dan usahawan Dazrin Kamarudin menegaskan status sebagai selebriti bukan tiket untuk mengetepikan undang-undang, sebaliknya semua pihak perlu menghormati setiap peraturan terutama ketika menganjurkan acara.

Ujar Dazrin atau nama sebenarnya Dazrin Kamarudin, 37, setiap idea mampu direalisasikan, namun pelaksanaannya perlu mematuhi syarat serta prosedur ditetapkan pihak berkuasa.

“Memang idea saya banyak. Kalau orang cakap sesuatu itu tak boleh dibuat, saya akan cari jalan bagaimana hendak menjadikannya realiti. Tetapi apa juga dilakukan, kita tetap kena ikut peraturan.

“Jangan ingat kita selebriti, kita ini besar dan semua benda boleh dilanggar. Peraturan tetap peraturan. Kalau perlu mohon lesen, mohonlah lesen. Selagi saya belum ada kelulusan atau lesen, saya tidak akan jalankan acara itu.

“Contohnya semalam saya berniat mahu membantu seorang busker, tetapi untuk memanggil busker atau penghibur membuat persembahan pun perlu mendapatkan lesen,” katanya kepada Kosmo! Online.

Dalam masa sama, pelakon drama Guard Komando mengakui keberanian mengambil risiko penting dalam dunia perniagaan, namun setiap langkah mesti berpaksikan undang-undang.

“Kita memang kena berani ambil risiko, tetapi dalam masa sama kena tahu akta-akta sedia ada. Jangan langgar peraturan semata-mata mahu berniaga dengan semua orang.

“Hormatlah semua badan pengawal selia. Kalau kita ikut setiap peraturan, insya-Allah tiada masalah untuk menganjurkan apa juga acara.

“Alhamdulillah, saya sendiri tidak pernah berdepan masalah dengan pihak berkuasa dan memang tidak mahu perkara itu berlaku,” ujarnya pada pelancaran Weekend Fete Al Aqsa Carpets, di sini, hari ini.

Mengulas sama ada populariti memudahkan urusan perniagaan, Dazrin mengakui gelaran selebriti mungkin membuka pintu pertemuan, namun kejayaan sebenar bergantung kepada disiplin dan sikap menghormati peraturan.

“Menjadi selebriti mungkin membuatkan wajah kita lebih mudah dikenali, tetapi perkara sebenar yang mengukuhkan kedudukan dalam dunia perniagaan ialah disiplin serta cara kita menghormati orang lain. Ikut sahaja peraturan.

“Kalau hendak menghadiri mesyuarat dengan sesebuah agensi, mungkin status selebriti membantu membuka ruang pertemuan. Itu tidak menjadi masalah. Tetapi apabila sudah berada dalam mesyuarat, kita tetap perlu faham peraturan, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan.

“Tidak ada istilah sebab kita selebriti, kita boleh melanggar semua benda. Saya langsung tidak percaya perkara itu,” tuturnya.

Sebelum ini, timbul tanggapan segelintir pihak bahawa individu terkenal lebih mudah menjual produk atau menganjurkan program berbanding orang biasa kerana sudah memiliki nama dalam industri.

Untuk rekod, Dazrin menganjurkan program Weekend Fête Al Aqsa Carpets berlangsung selama tiga hari bermula semalam sebagai acara perintis bagi mewujudkan ruang komuniti lebih aktif, selain membuka peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk serta mengembangkan perniagaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok