Telan budu, Kidd Santhe rap dialek Kelantan

“SAYA dah makan budu untuk pastikan lidah saya boleh rap bahasa Kelantan.”

Itu pengakuan rapper Kidd Santhe yang baru sahaja muncul dengan lagu terbaru berjudul Aku Level Lain kolaborasi bersama rapper asal Kelantan, RxF Rhaled.

Menurut Kidd atau nama sebenarnya Parssanth Navaratnam, 27, Aku Level Lain asalnya adalah lagu bahasa Tamil berjudul Naa Vera Level yang dinyanyikannya bersama penyanyi dari Chennai, Raavanaa Ram.

“Lagu Naa Vera Level mendapat sambutan ramai. Jadi saya terfikir mahu hasilkan dalam bahasa Melayu pula supaya lebih ramai orang dapat dengar lagu ini.

“Jadi pihak pengurusan mencari siapa rakan duet yang sesuai untuk versi bahasa Melayu. Akhirnya mereka jumpa Rxf Rhaled dalam TikTok.

Bila Rxf tulis lirik dan beri pada saya, saya rasa liriknya kedengaran sempurna. Bahasa Kelantan sangat unik dan berbunga-bunga. Siapa sangka lagu Tamil boleh diadunkan dengan dialek Kelantan,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Aku Level Lain, semalam.

Ditanya sekiranya dia mampu untuk rap bahasa Kelantan sekiranya terpaksa membuat persembahan seorang diri, kata Kidd, dia perlu belajar dengan lebih mendalam.

“Saya kena ambil masa untuk hafal. Mungkin saya kena minum lebih banyak budu. Kali pertama saya cuba budu ketika menjalani penggambaran video muzik Aku Level Lain di Kelantan.

Tiada siapa yang paksa saya makan. Saya sendiri yang pilih untuk cuba. Jika dulu orang kenal saya sebagai Kidd Santhe A/L Shah Rukh Khan, kini orang boleh panggil saya Kidd Santhe A/L Budu,” katanya sambil ketawa.

Aku Level Lain terbitan Kidd Next Door Productions dan Sony Music Entertainment Malaysia ini akan dilancarkan secara rasmi di semua platform digital pada 31 Julai nanti. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok