Tiada komen, tunggu habis nanti – Bella Astillah

‘HANYA mendoakan yang terbaik, penyanyi dan pelakon, Bella Astillah hadir memberikan sokongan kepada tunangnya juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 33, tiba di pekarangan mahkamah diiringi saudara terdekatnya pada pukul 7.29 pagi.

Mengenakan jubah berbunga rona putih dan biru, ibu kepada dua anak itu tampak tenang.

Insya-Allah saya sentiasa mendoakan yang terbaik,” katanya kepada media pagi tadi.

Bella juga enggan mengulas lanjut berhubung harapannya terhadap keputusan membabitkan tunangnya pada pagi ini.

Tak apalah, buat masa sekarang tiada sebarang komen. Nanti tunggu dah habis,” ujarnya.

Turut hadir seawal pukul 7.35 pagi adalah ibu bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.

Istana Kehakiman Putrajaya sekali lagi menjadi tumpuan bagi mengikuti keputusan rayuan akhir pendakwaan melibatkan empat pertuduhan jenayah dihadapi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ditangguhkan ke hari ini.

Nasib Syed Saddiq sama ada kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) akan diketahui pagi ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada 9 pagi.

Pihak pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu, melepas dan membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Syed Saddiq turut berhadapan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.

Terdahulu, pada 30 Jun lalu Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan akhir kepada 13 Julai ini selepas seorang daripada tiga anggota panel iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak dapat menghadiri prosiding kerana cuti sakit selama dua hari. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok