Ngeri, kemenjadian ‘minyak dagu’ versi mat salih

DALAM era filem seram atau horror yang semakin bergantung kepada jump scare dan visual keterlaluan, filem arahan sutradara, Curry Barker, Obsession memilih laluan berbeza.

Filem ini tidak cuba mengejutkan penonton setiap beberapa minit. Sebaliknya, membina ketakutan secara perlahan-lahan, menjadikan obsesi manusia sebagai ‘raksasa’ paling menggerunkan.

Premisnya cukup mudah. Seorang lelaki membuat hajat agar wanita yang dicintainya membalas perasaannya melalui kuasa mistik One Wish Willow. Namun, apabila cinta lahir tanpa kerelaan, ia bukan lagi cinta — sebaliknya satu bentuk pemilikan yang memusnahkan.

Di sinilah Obsession benar-benar menyerlah. Filem ini tidak menjadikan kuasa supernatural sebagai antagonis utama.

Sebaliknya, mempersoalkan sifat manusia yang sanggup mengorbankan kebebasan orang lain demi memenuhi keinginan sendiri.

Hasilnya adalah sebuah naskhah seram psikologi yang lebih mengganggu emosi berbanding menakutkan secara fizikal.

Inde Navarrette

Lakonan Inde Navarrette menjadi nadi kepada keseluruhan filem. Transformasi emosinya disampaikan dengan penuh kawalan, menjadikan setiap perubahan pada wataknya terasa meyakinkan dan menyedihkan.

SINERGI lakonan antara dua karakter utama, Nikki lakonan Inde dan Bear (Michael) antara faktor penting keberhasilan Obession.

Penonton bukan sahaja melihat seorang mangsa, tetapi seseorang yang perlahan-lahan kehilangan identiti akibat obsesi orang lain.

Dari aspek pengarahan, Obsession bijak memanfaatkan suasana sunyi, sinematografi yang suram dan rentak penceritaan yang ‘sabar’ untuk membina rasa tidak selesa. Ia tidak tergesa-gesa mengejar babak seram, sebaliknya membiarkan ketegangan berkembang secara semula jadi.

Pendekatan ini menjadikan impaknya lebih berkesan, terutama menjelang babak penutup.

Walaupun terdapat beberapa persoalan logik yang tidak dijelaskan sepenuhnya, kelemahan itu tidak begitu menjejaskan pengalaman menonton.

Fokus filem ini jelas bukan pada mekanisme kuasa mistik, tetapi pada akibat apabila manusia cuba memaksa sesuatu yang sepatutnya berlaku secara ikhlas.

Kritikan sosial

Lebih menarik, Obsession menyampaikan kritikan sosial yang relevan tanpa terasa menggurui.

Ia mengingatkan bahawa cinta yang dipaksa bukanlah cinta, dan keinginan untuk memiliki seseorang sepenuhnya akhirnya hanya melahirkan kehancuran.

Secara keseluruhannya, Obsession ialah sebuah filem seram psikologi yang berjaya mengimbangi elemen supernatural dengan drama emosi yang kuat.

Buat penulis secara peribadi, mungkin bukan filem paling menakutkan tahun ini, tetapi antara yang paling mengganggu-gugat keamanan fikiran.

Ketika lampu pawagam kembali menyala, persoalan yang ditinggalkan filem ini masih terus menghantui. Jika diberi peluang untuk membuat satu permintaan, adakah kita benar-benar bersedia menerima akibatnya?

Keseluruhannya, Obsession membuktikan bahawa seram paling berkesan bukan datang daripada makhluk ghaib, tetapi daripada keinginan manusia yang enggan menerima penolakan.

Antara filem yang paling berbekas di minda dan akan kekal untuk tempoh yang lama kerana kemenjadiannya yang lain daripada lain. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok