PUSAT tuisyen terkemuka negara, PTTI sekali lagi mencipta kelainan apabila menganjurkan tayangan perdana dokumentari Selekoh Akhir PTTI – The Untold Story Behind The A’s di GSC Aurum Theatre, The Exchange TRX, di sini semalam.
Inisiatif tersebut dianjurkan bagi memberi suntikan inspirasi kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya mereka yang masih bergelut dan ketinggalan dalam pelajaran menjelang peperiksaan.
Dokumentari eksklusif itu menampilkan kisah sebenar pengorbanan, kesungguhan dan perjuangan pelajar, ibu bapa serta tenaga pengajar PTTI dalam menjayakan Program Selekoh Akhir, sebuah program yang telah membantu melahirkan ribuan pelajar cemerlang sejak diperkenalkan pada tahun 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana berkata, dokumentari tersebut dihasilkan bagi membuka mata masyarakat terhadap usaha dan proses sebenar di sebalik kejayaan luar biasa yang dicapai pelajar-pelajar PTTI.
“Rakyat Malaysia melihat keputusan cemerlang SPM yang berjaya dihasilkan oleh PTTI, namun ramai yang tidak mengetahui bagaimana proses kejayaan itu dibina dan diulang berkali-kali.
“Itulah sebabnya kami menghasilkan Selekoh Akhir PTTI – The Untold Story Behind The A’s, bagi menunjukkan perjalanan sebenar di sebalik setiap kejayaan tersebut,” katanya.
Pada majlis sama, PTTI turut memperkenalkan barisan tenaga pengajar Program Selekoh Akhir yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan program berkenaan.
Kesemua guru tersebut merupakan pendidik sepenuh masa di PTTI yang telah menjalani latihan intensif serta memiliki pengalaman mengajar yang luas, termasuk ada yang telah berkhidmat lebih 25 tahun dalam bidang pendidikan, khususnya subjek Matematik Tambahan.
Selain itu, tenaga pengajar terbabit turut terdiri daripada individu yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang, namun berkongsi matlamat sama iaitu membantu pelajar mencapai potensi terbaik mereka.
Menurut Cikgu Fana, Program Selekoh Akhir merupakan program persediaan intensif selama tiga bulan terakhir sebelum peperiksaan SPM yang direka khusus untuk membantu pelajar yang masih lemah atau ketinggalan dalam akademik.
“Sejak diperkenalkan lapan tahun lalu, program ini berjaya membantu ramai pelajar meningkatkan prestasi daripada gred G kepada A, malah ada yang berjaya memperoleh keputusan straight A dalam peperiksaan SPM.
“Kejayaan konsisten ini turut membolehkan PTTI menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebanyak tiga kali sebagai pusat tuisyen yang melahirkan jumlah pelajar straight A SPM paling ramai di Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pertumbuhan (CGO) PTTI, Sir Race berkata, Program Selekoh Akhir diwujudkan berasaskan kepercayaan bahawa setiap pelajar masih mempunyai peluang untuk mengubah masa depan mereka selagi peperiksaan belum berlangsung.
“Di PTTI, kami percaya tiada pelajar yang terlalu lewat untuk berubah. Selagi masih ada masa sebelum peperiksaan, selagi itu masih ada peluang untuk bangkit.
“Selekoh Akhir diwujudkan bagi membuktikan bahawa dengan bimbingan yang tepat, pelajar yang pernah gagal juga mampu mencapai keputusan cemerlang sekiranya mereka membuat keputusan untuk berubah hari ini,” katanya.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran personaliti terkenal seperti Datuk AC Mizal selaku hos, Datin Emylia, MK, Iman, Alyssa Dezek yang juga merupakan pelajar Selekoh Akhir 2025 dan memperoleh keputusan 9A dalam SPM, selain Madammu, Asyraf Khalid, Tya Arifin serta alumni Program Selekoh Akhir bagi sesi 2019 hingga 2025. – HIBGLAM
