BEBERAPA bulan menyimpan rahsia, pelakon, Tom Holland mengesahkan dia dan kekasihnya juga aktres, Zendaya kini sudah bergelar suami isteri.
Pasangan yang menjalin hubungan hampir sedekad dan bertunang pada Disember 2024 itu mencetuskan tanda tanya selepas tersebar foto mereka menggayakan baju pengantin sekitar Mac lalu.
Begitupun, ketika itu masing-masing menangkis khabar tersebut dengan mendakwa gambar berkenaan hanya rekaan menggunakan janaan kecerdasan buatan (AI).
Menggandakan lagi spekulasi adanya perkahwinan rahsia apabila jurugaya Zendaya, Law Roach, memberi bayangan bahawa majlis perkahwinan mereka sebenarnya sudah pun berlangsung.
Kini tiga bulan kemudian, menerusi temu bual bersama majalah Esquire, Holland membuka mulut mengiyakan desas-desus itu tatkala mengulas kembali isu gambar yang pernah tular di media sosial.
Menurut bintang berusia 30 tahun itu, neneknya pada mulanya berkecil hati kerana menyangka tidak dijemput ke hari bersejarah mereka.
Namun, apabila ditanya sama ada dia perlu menjelaskan perkara itu kepada ahli keluarga lain, Holland menjawab “Tidak, kerana mereka semua berada di sana.”
Begitupun, pelakon filem Spider-Man: Homecoming itu enggan mengulas lebih lanjut berkenaan majlis tertutup tersebut atau lokasi dimaksudkan.
“Itu sahaja yang anda akan dapat daripada saya,” katanya ringkas namun sarat makna.
Menerusi wawancara sama, Holland turut berkongsi kebahagiaan memiliki Zendaya sebagai pasangan hidup yang sentiasa memahami tekanan kerjaya sebagai anak seni.
“Industri kami boleh menjadi sangat mencabar dan saya bersyukur mempunyai hubungan yang kukuh serta mampu bertahan dalam apa jua keadaan.
“Kami saling menyokong dengan cara yang hanya kami berdua fahami kerana hanya kami benar-benar mengerti kehidupan ini.
“Bagi saya, saya sudah menemui insan yang tepat. Dia sahabat baik dan saya paling bahagia apabila bersamanya. Saya juga tidak pernah berasa begitu disokong dan selamat seperti sekarang,” ujarnya.
Holland dan Zendaya mula intim selepas bergandingan dalam filem Spider-Man: Homecoming sekitar tahun 2017.
Pasangan itu dijangka kembali bersatu di layar perak menerusi filem francais Spider-Man: Brand New Day yang bakal ditayangkan pada akhir Julai ini. – HIBGLAM
