KEBELAKANGAN ini, penerbitan karya seni yang berteraskan elemen islamik dan kerohanian dilihat semakin sepi, bahkan dipinggirkan daripada radar industri.
Menyedari ruang kosong tersebut, pengasas empayar Tarbiah Sentap yang juga penggiat tegar muzik nasyid, Ustaz Adnin Roslan, mengambil satu inisiatif berani dan luar biasa.
Menolak tepi soal keuntungan komersial semata-mata, dia kini sedang menghasilkan sebuah projek muzik berskala mega yang dinamakan sebagai Nasyid Friday.
Bermula Jun 2026 sehingga Januari 2027, Nasyid Friday akan meluncurkan karya kerohanian baharu pada setiap hari Jumaat secara konsisten.
Antara barisan penggiat seni utama yang menggalas tanggungjawab menjayakan projek berkenaan termasuklah Adnin sendiri, Aniq Muhai, Aswan Anwar serta kumpulan One Path, Rabithah, Fetya, The Truth, dan Autotune Band.
Lebih menarik, Nasyid Friday tidak hanya bersandarkan kepada lapan tunggak utama tersebut, sebaliknya turut menerima penampilan istimewa daripada barisan selebriti tanah air yang mahu bersama-sama menyemarakkan projek mulia berkenaan.
Mereka yang bakal terlibat dalam pembikinan tiga daripada lapan album adalah Saiful Apek, Anas Tahir dan Alif Azhari.
Selaku pengasas, Adnin mengakui keperibadian dan akhlak yang baik menjadi kriteria utama dalam pemilihan penyanyi di bawah naungan syarikat rakamannya agar dapat memberikan teladan terbaik kepada masyarakat.
“Pertama sekali, saya mencari orang yang berbakat, itu paling penting sebab dunia seni sangat pentingkan bakat.
Saya juga cari suara yang unik dan tengok peribadinya macam mana. Bagi saya, orang yang menyanyikan lagu-lagu dan karya-karya Tarbiah Sentap adalah orang yang boleh jadi contoh baik kepada masyarakat.
“Kalau mereka ada salah laku, saya tak teragak-agaklah untuk batalkan kontrak dengan persetujuan bersama,” katanya.
Disoal mengenai strategi untuk memastikan barisan artis bawah naungannya meraih populariti, Adnin secara bersikap realistik menyerahkan perkara tersebut kepada ketentuan rezeki.
“Tentang macam mana nak pastikan semua artis ini meletup, pergi jauh dan terkenal itu di luar kuasa saya.
“Saya pun tak ada kuasa tentang perkara itu. Kita mampu usaha sahaja.
Saya pesan kepada semua artis saya, kita usaha yang terbaik, hasilnya belakang cerita sebab Allah tak pandang hasil tapi usaha kita,” jelasnya.

ANTARA penggiat muzik nasyid dan muzik kerohanian yang terlibat dalam gerakan Nasyid Friday.
– AFIQ RAZALI
Dalam pada itu, Adnin secara jujur berkongsi bahawa misi utama penubuhan Nasyid Friday adalah sebagai platform mengumpul pahala dengan mengajak orang ramai ke arah kebaikan.
“Visi kami adalah Tarbiah Sentap menjadi saluran dakwah dan hiburan Islamik pilihan anak muda. Apa yang saya buat ini kerana nak masuk syurga.
Saya tak boleh masuk syurga dengan amalan saya seorang, dosa lebih banyak.
“Mudah-mudahan asbab usaha dakwah kami ini orang berubah dengan izin Allah dan kami dapatlah saham pahala,” luahnya.
Malah, dia menegaskan bahawa angka atau jumlah pengikut dalam media sosial langsung bukan impian utama yang dikejarnya dalam projek berkenaan.
“Pada akhirnya, kejayaan sebenar dapat masuk syurga terselamat daripada neraka.
Tak guna terkenal tapi masuk neraka. Kata ayah saya, Firaun banyak pengikut pun masuk neraka juga.
“Bukanlah pengikut atau nama yang kami kejar tetapi apa yang kami inginkan adalah menjadi asbab perubahan masyarakat,” ujarnya. – HIBGLAM
caption
Adnin Roslan menjadi ‘kepala’ penubuhan Nasyid Friday.
