‘Saya sentiasa jaga imej wanita, guru tapi komen timbulkan fitnah’

MENJAGA profesionalisme perguruan dan privasi, penyanyi Tasha Manshahar terkilan apabila sekolah tempatnya mengajar didedahkan seorang pegawai kerajaan menerusi media sosial.

Tasha atau nama sebenarnya Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 34, berkata, kandungan dimuat naik bukan bertujuan pendidikan, sebaliknya berunsur lawak yang boleh mencetuskan salah faham.

“Baru-baru ini ada video seorang pegawai tular dalam Threads dan TikTok. Video beliau kebanyakannya vlog membuat pemantauan di sekolah di Melaka dan beliau datang ke sekolah saya baru-baru ini.

“Pada hari tersebut beliau masuk ke bilik guru perempuan yang tidak dimasuki pun guru lelaki sekolah kami untuk berjumpa dengan saya dan meminta rakam ‘video 5 saat’.

“Namun setelah selesai, beliau berlalu pergi tanpa menyatakan tujuan video tersebut dirakamkan. Tiada pun terima kasih. Rupa-rupanya dia nak masukkan video tersebut sebagai footage dalam konten beliau,” katanya menerusi Threads.

Menurut Tasha, kandungan tidak beretika dikongsikan individu terbabit boleh mengundang salah faham terhadapnya yang selama ini menjaga integriti terhadap profesyen perguruan serta sebagai wanita.

“Tak jadi masalah tapi saya kesal kerana konten dan balasan dalam ruangan komen tentang saya agak mengelirukan dan boleh menimbulkan fitnah kepada saya yang sentiasa berusaha menjaga imej sebagai wanita dan guru,” ujarnya.

Bersandarkan semakan, difahamkan video dimaksudkan Tasha diturunkan individu terbabit namun sudah diulang siar pemilik akaun lain.

Tasha yang pernah mengajar Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur merupakan lulusan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas di Cheras, Kuala Lumpur dan kini berkhidmat di sebuah sekolah di Melaka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok