‘Bakal jadi bapa, panggil saya Daddy Pian’

DEBARAN menanti detik paling bermakna dalam hidup kian terasa buat penyanyi Sufian Suhaimi apabila bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.

Sufian atau nama sebenarnya Muhammad Sufian Mohd. Suhaimi, 34, mengesahkan isterinya, Rania Al Sadat kini berada di teimester akhir kehamilan dan hanya menunggu masa untuk melahirkan bayi pertama mereka.

Ya, betul. Saya bakal jadi seorang bapa. Lepas ini jangan panggil saya Baby Pian lagi, panggil Daddy Pian pula.

“Sekarang ini memang hanya tunggu masa sahaja. Kandungan pun sudah hampir 37 minggu, jadi bila-bila masa sahaja,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas mengenai persediaan, pelantun lagu Di Matamu itu mengakui dari segi kelengkapan fizikal, segalanya sudah tersedia, namun emosi masih diselubungi debaran.

“Kalau dari segi barang-barang, saya rasa sudah siap. Tapi persediaan emosi dan mental, itu masih berdebar.

Bila tanya kawan-kawan, tiada siapa pun yang betul-betul bersedia 100 peratus untuk anak pertama. Jadi saya rasa saya pun dalam situasi sama, cuma sangat teruja,” ujarnya Majlis Rumah Terbuka Seloka Lebaran 2026, hari ini.

Paling penting, Sufian turut berkongsi mereka tidak ketinggalan mengikuti kelas antenatal sebagai persediaan menyambut kehadiran bayi.

“Ada, kami pergi kelas antenatal. Banyak juga belajar. Kalau buka TikTok pun, sekarang ini penuh dengan tips keibubapaan.

Nama pun sudah ada beberapa pilihan. Biasalah, isteri lebih teruja memilih, dia ‘add to cart’, saya pula ‘checkout’,” kongsinya.

Berkongsi keadaan isterinya, Sufian bersyukur kerana Rania tidak mengalami alahan teruk sepanjang tempoh kehamilan.

“Alhamdulillah, dia sangat kuat. Alahan pun ringan sahaja masa trimester pertama. Muntah pun tak banyak.

Mengidam pun tiada. Kami memang suka makan dan ‘food hunting’, jadi tak nampak beza sangat sebelum dan selepas hamil,” jelasnya.

Tambahnya lagi, walaupun berperwatakan lembut, isterinya sebenarnya seorang wanita kuat dan aktif, malah sering menjadi pendorong dalam rutin harian mereka.

Walaupun dia nampak manja, sebenarnya dia kuat. Setiap hari lepas Subuh kami akan jalan kaki kira-kira tiga kilometer.

“Dia pula yang ‘push’ saya. Jadi sebagai bakal ibu, dia memang sangat kuat dan saya bersyukur tiada perkara merisaukan,” tuturnya.

Terdahulu, Sufian dan Rania mendirikan rumah tangga pada 2 Mei tahun lalu dan kini bersedia melangkah ke fasa baharu sebagai ibu bapa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok