‘Takut, tiga malam mimpi jin’ – Pijah Yasin nekad berhijab

SELEPAS lama menyepi, penyanyi Pija Yasin tampil manis berhijab sejak empat bulan lalu.

Pija atau nama lengkapnya Norafizah Mohd Yasin, 38, mendedahkan penghijrahannya bertitik-tolak pengalaman mistik yang berlaku awal tahun lalu sekali gus menjadi asbab hidayah buat dirinya.

Saya dah bertudung baru empat bulan, sebelum ini perkara mistik terjadi dan saya pernah pasang niat nak berhijab.

“Memang daripada muda dulu saya ada pasak dalam hati nak berhijab sebelum umur 40 tahun. Tapi Allah dah kirimkan hidayah lebih awal.

“Alhamdulillah, tak sampai 40 tahun saya dah buat keputusan untuk berhijab,” katanya kepada HibGlam pada Majlis Hari Raya Suria Records, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, juara Mentor 2005 itu melalui episod gangguan yang sukar dijelaskan secara logik selama tiga malam berturut-turut.

“Saya sakit, saya memang tiada anxiety atau kemurungan. Tak pernah alami kejadian itu seumur hidup.

Ada tiga malam berturut-turut, saya tak boleh tidur dan makan. Saya juga bermimpi buruk, saya takut saya gila.

“Bila saya minta pertolongan daripada Allah, itu sahajalah kita mampu buat. Benda itu memberi saya mesej sampai saya betul-betul berubah dan dapat jawapan,” kongsinya.

Pija turut mendedahkan bahawa dia dipercayai menjadi mangsa perbuatan khianat yang berkait dengan penyakit ain (pandangan mata).

Saya mimpi ada jin muncul dan arwah mak serta ayah saya beritahu saya memang terkena buatan.  Buatan tersebut salah satunya sebab penyakit ain juga.

“Mungkin semasa saya kahwin dahulu. Selepas itu ada orang terlampau suka dekat saya, wallahualam,” ujarnya.

Selepas melalui ujian getir tersebut, Pija kini lebih bersemangat dan mempunyai keyakinan diri lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Awal-awal saya ubat diri sendiri sebab memang pernah belajar juga dengan arwah ayah. Selepas itu rasa tak tahan,  saya telefon abang ipar saya.

Ketika itu, saya tengok muka saya dalam cermin macam nenek kebayan. Selepas dia berubat, barulah badan saya ringan dan terus menangis.

“Selepas berubat alhamdulillah saya lagi bersemangat dan lebih berhati-hati, peka serta fokus. Sebelum saya dapat sakit saya lebih kepada terlampau emosi, tak ada keyakinan diri,” tuturnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok