‘Kalau terima tawaran dia, tak dapat buat apa saya mahu’

DALAM dunia seni, tidak semua peluang harus digenggam. Adakalanya, nilai sebuah perjalanan lebih bermakna daripada kilauan pentas besar.

Prinsip itulah dipegang penyanyi Nourul Depp saat dihulur tawaran luar biasa, namun menuntut pengorbanan besar daripadanya.

Di sebalik kematangan hampir lima dekad dalam industri, pemilik nama sebenar Noorulhuda Abdul Wahab itu berpasak kemas pada pendirian tersendiri.

Meski kini menetap di Bali, jiwanya masih dekat dengan peminat tanah air, apatah lagi dengan perancangan konsert For You Nourul yang dianggap begitu peribadi dan sarat makna.

Kata Nourul, pengalaman mengejutkan itu berlaku ketika dia pulang ke Malaysia bagi meraikan Aidilfitri baru-baru ini dan didatangi seorang individu menawarkan peluang lebih besar, namun dengan satu syarat, membatalkan konsert For You Nourul.

“Ada seorang hamba Allah datang meminta saya membatalkan konsert ini kerana dia mahu melakukan sesuatu yang lain untuk saya. Dia kata, batalkan konsert ini dan buat bersama dia di Axiata Arena dalam skala lebih besar.

“Bagi saya, itu memang satu peluang besar. Saya kata boleh tetapi saya tetap perlu teruskan For You ini. Bukan kerana ego, tetapi kerana saya sudah ada perancangan sendiri,” katanya kepada HibGlam.

Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang tidak selari dengan kemahuan pelantun lagu Kerana Terluka itu sekali gus memilih untuk menolak tawaran tersebut demi mempertahankan prinsip serta hala tuju seninya.

“Saya tidak rasa ralat tolak tawaran dia kerana saya ada matlamat dan sasaran sendiri. Semua sudah berjalan, pasukan perhubungan awam, produksi dan pemuzik sudah dibayar. Kalau saya batalkan, perjalanan itu tidak akan nampak cantik.

“Walaupun semua kos akan diganti, saya tidak akan dapat buat apa yang saya mahukan. Saya tidak akan dapat menjadi diri sendiri. Buat apa saya belajar tentang mencari diri jika akhirnya tidak digunakan dalam konsert ini.

“Sebab itu saya gunakan tajuk For You, kerana konsert ini untuk peminat dan juga untuk diri saya,” ujarnya.

NOURUL berbesar hati apabila konsert solonya yang bakal berlangsung pada 17 April ini turut dimeriahkan penyanyi versatil, Mimyfly.

Bukan penipuan

Mengulas lanjut, ibu empat anak itu turut menjelaskan penangguhan konsert tersebut daripada 17 April ke 30 Mei depan di Zepp Kuala Lumpur berpunca daripada masalah peribadi penganjur asal, bukan sebarang unsur penipuan.

“Penganjur itu tidak menipu saya. Niat dia sangat baik, malah dia juga peminat saya. Arwah ibunya pun peminat saya.

“Tetapi dia berdepan masalah peribadi apabila rakan kongsi menipunya. Dia sudah meminta maaf berkali-kali kepada saya.

“Tiket yang sudah terjual di bawah syarikatnya juga diserahkan kepada saya untuk diteruskan,” kongsinya.

Kini, konsert tersebut diteruskan di bawah syarikat milik Nourul sendiri, menandakan satu langkah berani dalam mengawal sepenuhnya arah tuju karier seninya.

Lebih menarik, penyanyi versatil Mimifly turut diumumkan sebagai artis undangan, sekali gus menambah warna dan tenaga pada konsert berkenaan.

Paling penting kata Nourul, pentas bukan semata-mata tempat menyanyi tetapi ruang meluahkan rasa di jiwa. Dalam dunia serba komersial, kejujuran itu menjadi taruhan sebenar dan dia memilih untuk kekal setia dengan suara hatinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok