SEPANJANG empat dekad menghiasi kanvas seni tanah air, wajah Roy Azman sinonim dengan karakter ceria, jenaka spontan dan tawa yang tidak pernah lekang daripada bibir.
Namun, di sebalik personaliti humor yang mudah menghiburkan peminat itu, tersingkap sebuah rahsia peribadi yang selama ini tersimpan kemas daripada radar umum.
Awal bulan lalu, dia terpaksa ditahan di sebuah pusat perubatan selepas disahkan mengalami jangkitan pada bahagian paha.
Dalam masa sama, kejadian tersebut juga berkait rapat dengan penyakit kencing manis yang dihidapnya.
Meskipun masih dalam keadaan kesihatan yang tidak memuaskan, Roy atau nama asalnya Zairosminan Abdul Rahman tetap ceria dan masih bergelak tawa sepanjang berkongsi perihal keadaan diri.
Mengimbas semula detik awal, Roy menyedari terdapat benjolan kecil yang pada mulanya dianggap sekadar jangkitan biasa sebelum bengkak melarat menjadi serius.
“Mula-mula saya rasa ada benjol di atas pangkal paha, selang dua hari makin besar. Saya pun pergi klinik tapi dia bagi ubat jangkitan.
Tapi benda itu makin besar dan sakit, saya pun rujuk klinik balik, kebetulan doktor itu ada kawan yang pakar tentang perkara itu.
“Saya pun pergi dan buat X-ray, ternyata dah bernanah. Benjolan sebesar tiga sentimeter (cm) itu sebenarnya bisul tak bermata dan kena buat pembedahan dengan segera,” katanya membuka bicara.
Bagaimanapun, prosedur pembedahan itu tidak dapat dijalankan serta-merta apabila doktor mendapati kadar gula dalam darahnya terlalu tinggi dan proses diteruskan pada keesokan harinya.
“Malam itu saya terus masuk hospital dan tengah nak buat persediaan pembedahan tapi tak dapat dibuat sebab bacaan gula dalam darah terlalu tinggi.
“Dia bagi saya insulin dulu untuk cepat turun dan jadualkan pembedahan pada keesokan harinya. Alhamdulillah, bacaan gula turun dah boleh teruskan pembedahan.
“Sekarang dah okey cuma masih dalam proses pemulihan. Doktor bagi masa satu atau dua minggu untuk kembali sembuh,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, pelakon berusia 56 tahun itu memaklumkan ada kemungkinan bisul tersebut akan kembali tumbuh sekiranya dia tidak menjaga disiplin pemakanan dengan betul.

Roy kini merupakan penyampai radio Sinar FM yang kini bertugas dalam segmen Gen SINARPagi.
“Ada potensi untuk naik balik, itu pentingnya kena jaga gula lepas pembedahan.
“Doktor kata, tempat bisul saya jarang berlaku, selalunya dekat belakang badan. Mana-mana tempat pun bahaya,” jelasnya.
Alat periksa gula
Susulan pembedahan yang harus dijalani, Roy kini mengambil langkah proaktif dengan menggunakan peranti Continuous Glucose Monitor (CGM) yang dipasang pada bahagian perut bagi memantau paras gula.
“Sekarang saya pakai alat ini supaya boleh kesan bacaan gula setiap minit. Doktor pun lagi suka sebab dapat tengok progres gula setiap saat.
“Dahulu saya memang tak jaga makan dan agak degil, walaupun isteri selalu bising. Sekarang, saya kawal pemakanan, kecilkan pengambilan nasi dan guna beras basmati.
“Malah, saya juga buat senaman ringan seperti squat jika nampak bacaan gula naik mencecah angka 11.
“Allah sudah tarik sedikit nikmat rasa manis, jadi saya reda. Sekarang minum kopi tanpa gula pun rasa sedap sebab terpaksa,” katanya seraya ketawa.
Wajah ceria bintang filem Maria Mariana itu tiba-tiba suram apabila mengenangkan situasi tidak boleh berpuasa penuh pada Ramadan tahun ini berikutan terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan mengikut paras gulanya.
Bulan puasa ini sebenarnya okey tapi kadang-kadang terganggu sikit kalau gula turun. Pernah sampai 2.8 membuatkan saya ‘hypo’.
“Bila jadi begitu saya kena ambil gula sebab kalau biarkan rendah sangat pun bahaya untuk jantung.

Roy mengutamakan perihal kesihatan selepas berdepan beberapa masalah yang mengakibatkannya menghabiskan masa di hospital.
“Setakat ini, ada hari boleh puasa dan ada tak boleh kerana walaupun tak makan tengah hari bacaan gula naik. Jadi kena makan ubat untuk turunkan,” tuturnya.
Disebabkan ujian itu, Roy kini sangat berjaga-jaga dalam hal pemakanan keluarga, terutama membabitkan anak bongsunya yang gemar mengambil minuman manis.
“Bila dah jadi macam ini saya ‘strict’ dengan anak bongsu. Saya halang dia minum air manis. Dia suka sangat milo tabur, air bikarbonat dan jus buah.
“Sebelum saya kena, saya banyak minum kopi, selang dua hari pergi kedai untuk beli. Lagi satu, air tin. Setiap kali keluar rumah kena ada,” tuturnya.
