Tahun ini bagi ruang Marsya ke depan dulu – Liza Hanim

TAHUN ini merupakan lakaran sejarah peribadi buat Marsya Q iaitu anak kepada Liza Hanim apabila pertama kali menyambut Ramadan dengan status sebagai seorang anak seni. 

Namun, di sebalik kesibukan meniti tangga populariti, Marsya tetap mengagumi disiplin ibunya itu dalam mengemudi urusan rumah tangga.

Menjelang kedatangan bulan yang penuh keberkatan, Liza misalnya sudah mula mengatur langkah awal dalam memastikan keselesaan keluarganya sentiasa terjaga.

Di mata Marsya sendiri, ibunya sebagai seorang yang sangat teliti dan mementingkan persediaan rapi, terutama apabila melibatkan hidangan berbuka puasa untuk mereka sekeluarga.

Mama banyak buat persediaan. Dia hantar dalam kumpulan mesej keluarga menu berbuka untuk 11 hari,” selorohnya. 

Sementara itu, pemilik nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim, 47, memaklumkan tindakan menyenaraikan resipi lebih awal supaya tidak buntu apabila tiba waktu untuk memasak. 

“11 hari dulu, sebab takut nanti sampai waktu kita tak tahu nak buat apa. 

“Jadi, selepas ini bertekad untuk pastikan ikut saja,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini. 

Mengulas mengenai aktiviti sepanjang bulan puasa, pelantun lagu Gelisah Mimpi itu memilih untuk berehat demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kebajikan anak-anak.

“Untuk saya macam biasa, saya lagi suka rehat sepanjang bulan Ramadan. Sekarang pun saya selesaikan apa-apa kerja yang ada, selepas itu saya akan fokus untuk anak-anak. 

“Adik-adik dia (Marsya) semua masih sekolah, jadi saya perlu fokus untuk pastikan mereka ada nutrisi yang cukup. 

“Kalau tidak nanti, mereka akan penat sebab adik dia ada yang main bola juga sewaktu bulan puasa,” ujarnya. 

Ruang untuk Marsya

Berkongsi lanjut, Liza juga memberi ruang terhadap kerjaya seni anak sulungnya dengan memberi ruang kepada Marsya untuk lebih ke hadapan, terutamanya bagi projek lagu raya tahun ini.

“Tahun ini saya bagi ruang untuk Marsya ke hadapan dulu. Tahun lepas pun saya dah lancarkan lagu dengan Kmy Kmo. 

“Jadi, tahun ini Marsya pula dan kami sangat teruja dengan projek dia. Lagu yang berbeza sikit serta seronok,” jelasnya.

Bagi Marsya pula, keterujaannya kian memuncak untuk memperkenalkan karya sulungnya itu kepada khalayak, meskipun tidak dapat menyembunyikan perasaan gemuruh.

“Saya sangat gemuruh sebab lagu raya saya akan jadi karya pertama juga. Tapi saya sangat teruja sebab rasa sangat berbeza dengan lagu-lagu raya sekarang. 

Macam ada nafas baharu sikit. Jadi, saya sangat teruja untuk memperdengarkan kepada orang ramai,” tutupnya sekali gus menoktahkan bicara.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok