Catherine O’Hara meninggal dunia akibat komplikasi penyakit

PELAKON veteran dan ikon komedi, Catherine O’Hara menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun akibat komplikasi penyakit, semalam.

Pemergian bintang filem Home Alone itu disahkan wakilnya selepas mendiang dilaporkan berdepan masalah kesihatan sejak kebelakangan ini.

Sebelum itu, Jabatan Bomba Los Angeles (LAFD) menerima panggilan kecemasan pada 4.48 pagi Jumaat (waktu tempatan) melaporkan seorang wanita warga emas mengalami kesukaran bernafas.

O’Hara kemudian dikejarkan ke sebuah hospital di Los Angeles dalam keadaan serius sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Sepanjang kerjayanya, O’Hara dikenali menerusi watak ikonik sebagai ibu kepada Macaulay Culkin dalam filem klasik Home Alone, selain membintangi Beetlejuice dan Best in Show.

Turut merangkul Anugerah Emmy bagi Pelakon Wanita Utama Terbaik menerusi watak Moira Rose dalam siri popular Schitt’s Creek pada 2020, mendiang juga pernah memenangi Golden Globe dan Anugerah SAG.

Pada masa sama, Pihak Creative Artists Agency turut berkongsi kenyataan rasmi yang mengesahkan pemergian beliau selepas mengalami sesak nafas

Pelakon, penulis dan pelawak prolifik yang memenangi pelbagai anugerah, Catherine O’Hara, meninggal dunia hari ini di rumahnya di Los Angeles,” tulis kenyataan itu.

Mendiang kekal aktif sehingga akhir hayatnya apabila tahun lalu membintangi siri satira Hollywood The Studio arahan Seth Rogen, membawa watak Patty Leigh iaitu seorang ketua studio berpengaruh yang dipecat tetapi kemudian kembali sebagai penerbit filem berjaya.

Persembahan beliau dalam siri itu dianggap antara yang terbaik, termasuk satu episod berlatarbelakangkan malam Golden Globes yang menjadi tumpuan ramai.

Prestasi hebat tersebut turut membawa kepada pencalonan di Anugerah Golden Globe bulan ini serta pencalonan Pelakon Komedi Wanita Terbaik di Actor Awards (dahulu SAG Awards).

Dilahirkan di Kanada, O’Hara memulakan kerjaya dalam dunia hiburan melalui program sketsa Second City Television, yang akhirnya menghadiahkannya sebuah Anugerah Emmy.

O’Hara meninggalkan suami, Bo Welch yang dikahwininya selama 33 tahun bersama dua anak lelaki mereka, Luke dan Matthew. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok