“KECEWA.”
Demikian luahan ringkas pelakon, Puteri Balqis yang berkongsi kekecewaannya mengenai dakwaan dirinya menjadi mangsa buli segelintir pihak.
Menurut pelakon berusia 19 tahun itu, setiap individu tidak seharusnya berdiam diri sekiranya menjadi mangsa buli.
“Untuk semua penyokong dan sahabat, jika hidup kalian ada persamaan dengan kami, terus melangkah.
Jika kalian dibuli seperti saya dan ibu, lawan serta jangan mudah dijadikan kambing hitam.
“Untuk sahabat-sahabat baik, pilih sahabat walau tak ramai. Tidak ramai bukan bererti kita suka bermusuh,” katanya dalam satu hantaran Instagram.
Dalam hantaran sama dia juga berpendapat golongan yang dibuli akan terus merana sementara pembuli bersuka ria tanpa rasa bersalah.
“Terima kasih untuk semua sokongan hebat yang kalian berikan kepada saya.
Yang dibuli kekal menderita, si pembuli riang ketawa,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia dilihat turut memadam beberapa hantaran Instagram berkaitan beberapa dakwaan terhadap pelakon Mia Sara.
Tindakan tersebut meraih pujian ramai kerana merasakan Puteri Balqis tidak melakukan sesuatu yang akan memberi impak negatif terhadap dirinya kelak.
Sejak Sabtu lalu, nama Puteri Balqis menjadi bualan paling hangat dalam media sosial apabila membuat pendedahan dengan mendakwa Mia Sara terlibat dengan aktiviti tidak bermoral seperti berparti di kelab malam, minum alkohol dan mengambil bahan terlarang.
Dia juga menyeru Mia Sara tampil bagi menyelesaikan kemelut antara mereka selepas wanita berusia 20 tahun itu didakwa pernah memalukan ibunya. – HIBGLAM
