Mak#SalamDariSyurga peringatan tanpa mengajar, jatuhkan hukum

DALAM hiruk-pikuk dunia serba pantas, manusia sering terperangkap antara tuntutan hidup dan kealpaan emosi. Ada hubungan terabai, kasih tersisih dan doa tidak lagi terucap.

Di celah keheningan itulah lahir naskhah kecil bersuara besar, mengingatkan tentang pulang ke pangkuan ibu.

Sinema tempatan jarang membuka terhadap kejujuran tanpa gimik namun filem ini menongkah arus, memujuk hati dengan nada sederhana dan emosi berlapik.

Bukan jeritan sensasi mahupun drama berlebihan, sebaliknya renungan jujur tentang jarak manusia dengan insan paling dekat di jiwa.

Daripada renungan itulah terhasil Mak #SalamDariSyurga, sebuah filem berpaksikan kejujuran emosi sebagai kekuatan tanpa perlu bergantung pada sensasi.

Penerbit merangkap pelakon utama, Azman Ahmad berkata, naskhah itu tercetus daripada pemerhatiannya terhadap realiti hidup yang jarang diangkat dalam arus perdana.

“Ramai hidup dalam kesibukan hingga lupa menghargai perkara paling dekat. Filem ini cuba mengingatkan kita tanpa mengajar atau menjatuhkan hukum.

“Kami mahu penonton keluar dari pawagam dengan perasaan jujur. Jika ada yang terdiam, tersenyum atau menitiskan air mata, itu sudah cukup,” katanya kepada HibGlam.

Nadi emosi filem ini digalas Datuk Fauziah Nawi, disokong mantap Azman Ahmad serta Izzy Reef.

Konflik dalaman seorang anak lelaki dipersembahkan dengan tulus, perlahan namun sampai ke lubuk hati.

Berbeza dengan kebiasaan memburu klimaks, Mak #SalamDariSyurga memilih tempo berlapik, membiarkan emosi hadir satu demi satu, seolah-olah mengajak penonton mengingati ibu masing-masing baik masih hidup mahupun yang telah mengadap Ilahi.

Menyentuh pemilihan pelakon, Azman berkata, proses dibuat secara teliti demi keseimbangan naratif.

“Saya memilih Datuk Fauziah Nawi sebagai ‘mak’ kerana kredibilitinya. Kehadiran Izzy Reef pula memberi keseimbangan kepada naskhah.

“Kami juga membuka ruang kepada bakat baharu. Ada kali pertama berlakon filem dan mereka menyahut cabaran dengan cemerlang,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Hafis Nafiah menyifatkan pembikinan filem itu sangat mencabar terutama babak luar yang menuntut komitmen tinggi kru dan pelakon.

Namun, dia berpuas hati dengan komitmen barisan pelakon yang masing-masing berhempas pulas memberikan hasil kerja terbaik.

“Cabaran paling besar apabila membabitkan penggambaran luar. Kami berkampung dua hari dua malam dalam hutan demi satu babak bagi mendapatkan visual terbaik.

“Buat masa ini saya berpuas hati dan bangga dengan kesungguhan mereka,” tuturnya.

Lebih daripada kisah ibu dan anak, filem ini mengangkat persoalan penyesalan, peluang kedua dan makna pulang secara fizikal mahupun emosi.

Doa menjadi benang halus mengikat penceritaan, mengingatkan bahawa ada pengharapan itu terus hidup walau insan yang melafazkannya sudah tiada.

Filem ini mengisahkan Aman (Azman Ahmad) berdepan dilema apabila terbabit dengan sindiket pemerdagangan manusia diketuai Edy (Megat Sharizal). Keadaan memuncak apabila Aman diburu pihak berkuasa susulan serbuan di sempadan.

Demi membersihkan nama di mata ibunya, Nor (Datuk Fauziah Nawi), Aman memilih bertahan di hutan berminggu lamanya demi pulang menemui ‘syurganya’.

Diterbitkan AA Success Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Awal Muzik, Mak #SalamDariSyurga bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 22 Januari 2026.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok