‘Kami tak mahu mula konsert ketika azan berkumandang’

KELEWATAN memulakan konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia bukan disengajakan sebaliknya dibuat atas dasar menghormati sensitiviti agama dan masyarakat.

Menurut wakil penganjur Impian Al Fateh Sdn. Bhd. dan GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events), penangguhan tersebut bagi mengelak bermula ketika azan isyak berkumandang serta memberi ruang jemaah menunaikan solat.

“Kami tidak mahu memulakan konsert ketika azan sedang berkumandang atau ketika jemaah sedang bersolat.

“Waktu isyak masuk sekitar pukul 8.30 malam dan selesai solat kira-kira 8.40 malam. Atas sebab itu, kami mengambil keputusan memulakan acara pukul 8:50 malam.

“Ini bukan kelewatan yang disengajakan, tetapi satu bentuk penghormatan kepada sensitiviti agama dan masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas isu konsert yang terpaksa dihentikan secara tiba-tiba, pihak penganjur memaklumkan mereka berusaha berbincang dengan pengurusan Idea Live Arena serta wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), namun menemui jalan buntu.

“Kami mengakui permit hiburan ‘indoor’ sah sehingga pukul 1 pagi, manakala permit tempat hanya sah sehingga jam 12.00 tengah malam, tetapi persembahan boleh dilanjutkan atas persepakatan bersama.

“Jadi, kami memohon kelonggaran masa sehingga 12.30 tengah malam bagi membolehkan Wali Band menamatkan persembahan dengan sempurna.

Malah kami sedia menanggung segala risiko dan memberitahu pihak venue bahawa kami sanggup kehilangan deposit RM20,000 atau didenda, asalkan peminat berpuas hati dan konsert dapat ditamatkan dengan baik. Keutamaan kami adalah kepuasan peminat, bukan wang ringgit.

Namun, pihaknya tidak berputus asa demi memberikan kepuasan kepada peminat yang hadir bagi meraikan konsert tersebut.

“Bagaimanapun pihak pengurusan Idea Live Arena enggan bertolak ansur dan meminta surat kebenaran bertulis beserta cop rasmi MBPJ pada waktu kejadian.

“Ini satu permintaan yang mustahil dipenuhi pada tengah malam begini. Namun kami terus berbincang untuk memberi peluang kepada Wali Band menyampaikan lagu terakhir sebelum menutup pentas,” katanya lagi.

​”Kami sudah mendapat persetujuan wakil tempat untuk satu lagu terakhir. Saya sendiri naik ke pentas untuk memaklumkan kepada vokalis Wali Band agar mengumumkan lagu seterusnya adalah lagu terakhir dan membuat penutup.

Namun, usahanya tetap gagal apabila tercetus kekeliruan dengan pihak Idea Live Arena selain memohon maaf kepada pengunjung yang hadir.

​”Malangnya, sebaik sahaja lagu yang sedang dimainkan tamat, pihak lokasi terus mematikan sistem bunyi tanpa membenarkan artis membuat pengumuman atau mengucapkan selamat tinggal kepada penonton.

Tindakan inilah yang menyebabkan kekeliruan dan kemarahan peminat. Kami memohon maaf kepada semua peminat yang hadir atas insiden yang tidak diingini itu.

“Namun kami melakukan segala usaha termampu untuk menyelamatkan keadaan, tetapi tersekat akibat ketegasan pihak tempat yang enggan berkompromi,” jelasnya.

Semalam, Konsert RadjaWali Live in Malaysia di Idea Live Arena Damansara bertukar kecoh apabila penganjur terpaksa memberhentikan persembahan Wali Band tepat pukul 12 tengah malam tadi berikutan kekangan masa.

Penonton yang memenuhi gelanggang yang boleh memuatkan kapasiti 5,000 orang itu pada awalnya enggan berganjak namun akhirnya melangkah keluar dengan perasaan marah.

Masing-masing melaungkan ‘boo’ beramai-ramai bagi menggambarkan kekesalan berdepan situasi tersebut.

Hal tersebut kerana mereka sepatutnya mempersembahkan lagi sekitar empat lagu hits termasuk Yank dan Aku Bukan Abang Toyip. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok