SELEPAS hampir tiga dekad menapak dalam dunia seni suara, penyanyi Soma kekal percaya dirinya masih punya ruang dan tempat tersendiri dalam pasaran muzik arus perdana, meskipun landskap industri terus berubah dan persaingan semakin sengit.
Ujar Soma atau nama sebenarnya Rosmah Sengari, 50, kritikan netizen tidak pernah mematahkan semangat, sebaliknya menguatkan tekad untuk terus berdiri atas prinsip sendiri.
“Saya tak mahu menoleh ke belakang dengan rasa ralat. Selagi masih ada masa dan tenaga, saya mahu terus merealisasikan impian dalam dunia nyanyian.
“Saya juga tak pernah berniat bersaing dengan artis baharu. Setiap orang ada laluan dan rezeki masing-masing. Saya hanya fokus pada perancangan serta visi sendiri,” katanya.
Mengulas pandangan segelintir pihak yang menganggap usahanya syok sendiri, Soma dahulunya seirng bekerjasama dengan tokoh besar muzik tanah air seperti maestro Allahyarham Datuk S. Atan serta gitaris legenda Man Kidal memilih untuk tidak goyah kerana percaya nyanyian bukan semata-mata minat sementara, sebaliknya kerjaya hidup.
“Kalau ada kata saya berangan, saya tahu apa tujuan sendiri. Nyanyian ialah minat dan kerjaya saya. Selagi sihat dan mampu, saya akan teruskan perjuangan ini.
“Semuanya bermula kerana minat. Sejak zaman sekolah, saya dan rakan-rakan tubuhkan kumpulan kecil, menyanyi dari satu majlis ke satu majlis,” ujarnya.
Minat mendalam terhadap muzik turut dipengaruhi latar keluarga, selain menjadikan penyanyi rock legenda Ella sebagai sumber inspirasi utama.
Baru sahaja selesai menjayakan sebuah showcase berjudul Sebuah Perjalanan yang merangkum hampir tiga dekad liku seninya, Soma kini bersedia melangkah setapak lagi dengan perancangan single terbaharu berjudul NPD, karya yang mengangkat isu kesihatan mental.
NPD, akronim kepada Gangguan Personaliti Narsisistik, dijadual dilancarkan tahun hadapan. Lagu ciptaan Belle Fatah itu menyaksikan Soma sendiri menulis lirik berkenaan.
“Lagu ini menyentuh isu kesihatan mental kerana ramai berdepan masalah yang tidak kelihatan secara luaran. Malah, ada individu dekat dengan saya melalui perkara sama.
“Saya harap lagu ini dapat memberi kesedaran dan membuka mata pendengar. Insya-Allah, karya ini hampir siap dan akan dilancarkan tahun depan,” kongsinya.
Pun begitu, Soma mengakui tidak meletakkan sepenuh harapan pada bidang seni semata-mata.
Lebih sedekad bergelar kontraktor dan usahawan, bidang perniagaan menjadi tonggak kewangan penting ketika dunia seni berdepan ketidaktentuan.
“Saya tak pernah tinggalkan nyanyian. Cuma apabila mula serius, saya terpaksa kurangkan komitmen sebagai kontraktor kerana dunia seni menuntut fokus sepenuhnya.
“Saya minat perniagaan dan seni. Walaupun bergelar penyanyi, saya belajar sendiri soal pemasaran, produksi serta pengurusan. Semua ini proses pembelajaran berterusan,” luahnya.
Untuk rekod, Soma pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian antaranya Sinaran Passport Kegemilangan, Bintang RTM serta Akademi Fantasia, sekali gus membuktikan perjalanan seninya dibina atas pengalaman panjang dan kesungguhan tidak berbelah bahagi. – HIBGLAM.
