PENGACARA sensai Roslan Shah menepis dakwaan mempergunakan individu orang kurang upaya (OKU) sebagai tarikan tontonan dalam program Night Walk yang tular baru-baru ini.
Ujar Roslan, 55, kehadiran wanita OKU asal Singapura dikenali sebagai Mass Factor dalam program tersebut berlaku atas kehendaknya sendiri, bukan pelawaan pihak produksi mahupun dirinya.
“Saya tak pernah tawarkan penyertaan kepada dia. Semua ini atas permintaannya sendiri.
Saya hormati keberanian Mass sebab kita tak boleh memandang rendah golongan OKU.
“Cuma sebelum setuju, saya letakkan syarat, kalau bekerjasama dengan saya, tidak boleh menyentuh saya,” katanya kepada HibGlam.
Jelas artis serba boleh negara jiran itu lagi, pada peringkat awal dia bersama pasukan produksi sebenarnya berasa keberatan memenuhi permintaan tersebut apatah lagi membabitkan peserta wanita dan OKU.
“Terus-terang, kami agak berat hati nak terima sebab dia seorang wanita dan OKU. Kami risau reaksi netizen.
Namun saya percaya ini rezeki dia. Mass berjaya habiskan cabaran selama satu jam dan menerima bayaran SGD2,000, kira-kira RM6,300.
“Penggambaran pula dibuat di kawasan perkuburan India. Dia sendiri tawarkan diri kerana impiannya mahu sertai program ini,” ujarnya pada sidang media Anugerah Paling Viral Online sebuah portal hiburan, malam tadi.
Tambahnya, Mass turut memaklumkan hasrat menggunakan bayaran tersebut untuk membantu bapanya, sekali gus membuatkan dia lebih menghormati keputusan wanita itu.
“Ini pengalaman pertama saya bekerjasama dengan peserta OKU. Kami juga risau kecaman daripada netizen Malaysia dan Singapura boleh memberi kesan kepada dirinya.
Sebelum penggambaran, pihak kami sediakan surat perjanjian dan Mass sendiri menandatanganinya.
“Disebabkan penyertaan itu atas kehendaknya, apa-apa berlaku kami tidak akan bertanggungjawab,” jelasnya.
Terdahulu, penglibatan Mass dalam Night Walk pada November lalu mencetuskan pelbagai reaksi dalam media sosial apabila segelintir pihak mendakwa Roslan sengaja mengeksploitasi individu OKU demi meraih tontonan, sekali gus mengundang kecaman netizen. – HIBGLAM
