KALAU sebelum ini sering mencuri tumpuan menerusi lakonan hebat, Reza Rahadian mencipta lembaran baharu dalam kembara seninya apabila tampil sebagai sutradara filem Pangku buat julung kalinya.
Lebih manis, karya sulung arahannya itu mencatat kejayaan besar apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Indonesia (FFI), sekali gus membuktikan kebolehannya bukan sekadar di hadapan kamera.
Malah, Pangku turut mengharumkan nama Indonesia di pentas filem antarabangsa apabila merangkul empat anugerah di Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) iaitu KB Vision Audience Award, Fipresci Award, Central Asia Cinema Award dan Face of the Future Award.
Pengiktirafan yang diraih meski baru pertama kali mengarah meletakkan Reza dalam kelas tersendiri sebagai pembikin filem serba boleh.
Sedikit sinopsis, Pangku mengisahkan kehidupan seorang ibu tunggal yang bergelut dengan dilema moral dalam kesempitan hidup demi menyara keluarga.
Menurut pemilik nama lengkap Reza Rahadian Matulessy, idea menghasilkan filem tersebut tercetus selepas beliau menyaksikan sendiri fenomena sosial yang berlaku di sebuah perkampungan di Pantai Utara Jawa.
Ketika itu dia melihat seorang pelanggan datang menikmati kopi sambil memangku wanita yang bekerja di gerai terbabit.
Pada 2017, saya menjalani penggambaran di kawasan Pantura. Secara spesifik di kampung yang dipanggil Desa Eretan Kulon, di Pantai Utara Jawa.
“Ketika di sana, pemandu yang menjemput saya bertanya, ‘Nak singgah di Kopi Pangku tak?’.
Saya tanya, ‘Apa itu?’ sebab saya tidak pernah dengar mengenainya sebelum ini. Jadi pemandu itu bawa saya ke sana.
“Saya terpaku, saya tidak turun dari kereta, cuma melihat dan cuba memahami bagaimana individu-individu di tempat itu cuba meneruskan kehidupan mereka,” katanya membuka bicara.

MENERUSI Pangku, Reza mengangkat kisah wanita sebuah perkampungan di Pantai Utara Jawa yang bergelut dengan dilema moral demi kelangsungan hidup.
Mengimbau perjalanan karier menjangkau dua dekad, pelakon berusia 38 tahun itu merasakan sudah tiba masanya mencipta karya sendiri dengan tema dekat di hati.
“Bukan soal sama ada jenis pekerjaan ini salah atau betul. Bagi saya, kemiskinan adalah sesuatu yang sangat sistemik.
Saya rasa isu sosial ini banyak berkait dengan keputusan politik dan pelbagai perkara lain. Jadi fenomena sosial khusus itu terakam dan melekat dalam kepala saya.
“Ini adalah tahun ke-20 saya dalam pembikinan filem sebagai pelakon, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mencipta sesuatu dan pilih tema khusus ini untuk filem tersebut,” tutur pelakon filem Rudy Habibie itu.
Bagi memastikan naratif yang jujur, Reza bersama penulis skrip Felix K. Nesi menjalankan penyelidikan dengan menembu bual wanita-wanita yang bekerja sebagai gadis Kopi Pangku.
“Selepas ada tema, kami mula melakukan penyelidikan selama empat hingga enam bulan. Saya menulis skrip bersama Felix.
“Kami bercakap dengan ramai wanita yang bekerja sebagai gadis Kopi Pangku dan apa yang mempesonakan adalah fakta mereka tak pernah dengar peluang kerja lain.
Inilah satu-satunya perkara yang boleh mereka buat dan boleh sediakan makanan untuk anak-anak. Ada yang bersekolah, ada yang ditinggalkan suami kerana bekerja sebagai nelayan dan pulang ke rumah selepas empat bulan atau enam bulan di lautan,” jelasnya.
Selain mengetengahkan realiti kehidupan golongan terpinggir, Reza memaklumkan Pangku juga merupakan sebuah ‘surat cinta’ buat ibu tersayang yang membesarkannya seorang diri tanpa suami di sisi.
Saya terinspirasi kerana ini adalah surat cinta kepada ibu saya. Sebagai seseorang yang dibesarkan ibu tunggal, saya rasa itu memainkan peranan besar dalam mencipta keseluruhan struktur cerita ini.
“Saya lihat dia melakukan yang terbaik untuk membesarkan dua anak. Begitulah cara saya mencipta skrip ini bersama Felix,” tuturnya lagi.
Reza turut berkongsi impak positif yang dirasai selepas tayangan filem tersebut di Bandung yang dihadiri Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi.
Bila kami buat tayangan di Bandung, Jawa Barat, Gabenor Dedi Mulyadi datang dan saya rasa bahagian paling penting, selepas tonton Pangku dia kata, ‘Tiada lagi kanak-kanak yang tidak boleh ke sekolah hanya disebabkan surat pentadbiran dan segalanya.’
“Terdapat 2.7 juta kanak-kanak di Indonesia yang tidak boleh bersekolah disebabkan dokumen rasmi seperti sijil kelahiran.
“Apabila beliau berkata begitu, saya rasa sangat bermakna buat kami, sekurang-kurangnya ada impak kecil. Harapnya boleh jadi lebih besar. Namun, saya harap itu bukan sekadar kata-kata atau janji,” ungkapnya.
Dibintangi barisan pelakon terkenal Indonesia iaitu Fedi Nuril, Claresta Taufan, Devano Danendra dan Christine Hakim, Pangku boleh ditonton di seluruh pawagam tanah air sejak 11 Disember lalu. – HIBGLAM
