Antara dakyah ‘songsang’, goncangan adrenalin Stranger Things

PENUH taktikal, mahal, menderas adrenalin dan lebih eksplorasi karakter dengan kualiti luar biasa. Itu yang sempat berlegar di fikiran penulis usai menghabiskan tontonan drama sains fiksyen fenomena, Stranger Things 5 Volume 1.

Pada tahap sekarang, hati sememangnya tidak sabar menunggu Volume 2 dan aksi Finale tidak lama lagi. Terutama, selepas dibentangkan dengan realiti karakter Will Byers pada hujung episod keempat musim kelima. Memang absolute cinema!

Dari segi teknikal seperti efek bunyi, kesan khas (VFX) dan teknik janaan komputer (CGI), produksi Stranger Things tidak pernah menghampakan. Bahkan, untuk musim kelima kali ini, banyak perihal yang diberi kemas kini atau ‘upgrade’.

Villain utama, Vecna divisualkan dengan cukup kemas. Penulis secara peribadi, sudah lama tidak terderas adrenalin seperti menonton Stranger Things 5 – barangkali kali terakhir rasa teruja seperti ini menerpa adalah ketika zaman Lord Voldemort (filem Harry Potter).

NILAI persaudaraan antara hero bandar Hawkins semakin kuat menuju musim akhir siri fenomena dunia, Stranger Things.

Ternyata, Matt dan Ross Duffer selaku pengarah merangkap penerbit dan juga ‘pemilik’ francais Stranger Things berjaya mengembangkan alur cerita jenama ini dengan cukup bergaya dan meyakinkan.

Will Bryers

Berbalik pada apa yang dinukilkan di perenggan ketiga tentang ‘upgrade’, semestinya paling mencuri tumpuan untuk musim kali ini adalah watak Will Byers yang dijayakan Noah Schnapp.

Di sini bukan tidak dapat hidu yang Will sememangnya ada sesuatu yang ‘tidak kena’ sedari musim pertama. Bulu tengkuk meremang setiap kali ‘sesuatu’ berlaku, itu memang taktik pengarah untuk membiarkan audiens berteka-teki akan kegunaan Will Bryers di penghujung cerita.

Cumanya tidak sangka watak Will dikembangkan sebegitu rupa. Daripada budak yang sangat disturbed’ atau tidak lepas daripada trauma lama kini diangkat sebagai hero atau barangkali watak utama musim terakhir.

Pengarah bijak menggunakan sentimen, tiada yang mustahil dalam kehidupan sekiranya seseorang itu percaya akan kebolehan diri, itulah yang dipraktikkan Will sehingga mampu memecah kebuntuan dan memperoleh sakti atau kuasa luar biasa.

Jadinya, Hawkins kini bukan hanya ada Eleven (Millie Bobby Brown) yang mempunyai kuasa sakti, mereka ada Will dan seorang lagi yang ‘dibocorkan’ pada episod keempat iaitu Eight atau Kali.

WATAK Will Bryers (kiri) antara perihal yang membuatkan ramai tidak senang duduk dalam Strangers Things 5 Volume 1.

Tidak berniat untuk memberi terlalu banyak ‘spoiler alert’ atau bocoran awal, namun si villain Vecna yang juga dikenali sebagai One, Henry dan Mr. Whatsit akan berdepan tugas ‘berat’ menanti untuk episod akan datang.

Mesej, dakyah

Selain itu, watak-watak lain yang diperkenalkan seperti Holly dan ibu bapanya turut meninggalkan dampak tersendiri terhadap penonton.

Senang cerita, olahan daripada minda genius adik-beradik Duffer menyatukan ‘misteri’ Mind Flayer, upside down, Demogorgon, Vecna dan pelbagai benda pelik lain di Hawkins begitu strategik dan cermat.

Menyentuh sedikit tentang mesej, barangkali yang terpaling ‘holier-than-thou’ akan menepuk dahi atas alasan perubahan dipamerkan karakter Will Bryers yang sepertinya dikembangkan menjurus ke arah budaya songsang.

Sedangkan, itulah realiti hidup sebenar. Kadang-kadang kita hidup terperuk disebabkan kongkongan orang tua yang terlalu sayang anak mereka.

Misalnya, sekiranya manusia berstatus anak itu tidak ingin menyambung pengajian dalam bidang perubatan kerana itu bukan bakatnya, biarlah dia mengikut kata hati. Mungkin hatinya lebih ke duna seni, untung sabut akan lahir seorang lagi Micheal Jackson. Begitu epitominya.

Apapun, Stranger Things 5 Volume 1 memang tidak wajar dilepaskan. Kalau tidak mengikuti siri ini, anda ketinggalan perihal menakjubkan dunia sinema. Markah peribadi: 96/100. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok