Erra Fazira, Mr. E umum tarikh nikah esok?

SPEKULASI kembali berterbaran, pelakon dan penyanyi, Erra Fazira dikhabarkan bakal mengumumkan majlis pernikahannya dengan ahli perniagaan, Ezwan Zain, esok.

Erra atau nama sebenar Fazira Wan Chek, 51, dikatakan akan berkongsi tarikh hari bahagia mereka serentak pelancaran video muzik lagu berjudul Cinta Abadi di sebuah hotel di Selangor.

Menurut sumber, dendangan yang pernah dirakamkan pada tahun 1994 sebaik bernaung di bawah Polygram Record itu difahamkan dipilih sebagai lagu tema perkahwinannya.

Esok adalah hari pelancaran video muzik Cinta Abadi, esok juga difahamkan Erra dan calon suaminya bakal membuat satu pengumuman besar.

“Lagu tersebut juga dipercayai mempunyai kaitan dengan hari bersejarah mereka,” katanya yang enggan dikenali.

Cinta Abadi yang dimuatkan dalam album pertama menggunakan judul namanya adalah nukilan komposer Razman, manakala lirik ditulis Datuk Habsah Hassan.

Begitupun, sumber enggan menyatakan tarikh pernikahan mahu pun resepsi pasangan terbabit, sebaliknya meminta khalayak menunggu pengumuman itu.

Lain-lain perincian lanjut termasuk tarikh pernikahan kita tunggu sahaja esok,” ujarnya lagi.

Terdahulu, sekitar Ogos lalu tercetus desas-desus mengenai tarikh pernikahan Primadona Filem Melayu Alaf Baru itu dengan usahawan, Ezwan Zain atau Mr. E yang didakwa semakin hampir.

Ketika diwawancara HibGlam, Erra mengakui meninjau beberapa dewan acara atas pelawaan rakan namun menafikan membuat sebarang tempahan.

Sebelum ini Erra memaklumkan persahabatan dengan Mr. E yang semakin akrab sekitar awal tahun ini dalam pengetahuan keluarga apabila ibunya bertemu lelaki itu.

Mr. E juga berstatus duda mengakui mula menjalin hubungan serius dengan bekas ratu cantik berkenaan selepas berkenalan pada Ogos 2024.

Erra pernah berkahwin dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 sebelum berpisah tujuh tahun kemudian dan dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, kini berusia 16 tahun.

Sebelum itu, dia juga pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 namun berakhir dengan perceraian tiga tahun kemudian tanpa cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok